Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Durian kampung Terengganu setaraf Musang King bakal tembusi pasaran dunia

 Durian kampung milik pekebun kecil di Terengganu, yang dulunya dipandang sepi dan tidak begitu dikenali, bakal menjadi durian premium setaraf Musang King (D197) bagi menembusi pasaran dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Durian kampung Terengganu setaraf Musang King bakal tembusi pasaran dunia

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Aug 2021 09:28PM Dikemas Kini : 09 Aug 2021 09:33PM

KUALA BERANG: Durian kampung milik pekebun kecil di Terengganu, yang dulunya dipandang sepi dan tidak begitu dikenali, bakal menjadi durian premium setaraf Musang King (D197) bagi menembusi pasaran dunia.

Usaha mengangkat martabat durian kampung premium itu kini giat dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu melalui pertandingan yang diadakan sejak Julai lalu. Ia bertujuan mengenal pasti jenis-jenis durian kampung bermutu tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata pertandingan itu adalah platform terbaik untuk mempromosikan durian kampung premium dari seluruh pelosok negeri.

“Pertandingan bermula di peringkat kampung dengan memilih durian yang terbaik untuk ke pertandingan peringkat daerah dan seterusnya ke peringkat negeri. Hasilnya, kita berjaya kenal pasti 10 jenis durian kampung premium yang sangat bagus dan mempunyai kriteria setaraf durian hibrid, yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia ketika ini.

“Proses mendaftarkan varieti durian ini akan dilakukan secepat mungkin, mengikut ciri-ciri istimewanya agar ia mampu berada dalam kategori durian premium sama seperti durian yang menjadi buruan ramai ketika ini,” katanya kepada wartawan selepas meninjau proses pengadilan durian yang dipertandingkan di Kompleks Pertanian Ajil di Kuala Berang.

Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan ketua hakim iaitu Pensyarah Pusat Pengurusan Ladang Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Dr Jamil Zakaria.

Johan pertandingan tersebut dimenangi oleh pekebun dari daerah Kuala Nerus, dengan wang tunai RM3,000 (S$960) manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi pekebun dari daerah Marang dengan hadiah RM2,000 (S$640) dan RM1,000 (S$320).

Pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu tidak melibatkan kehadiran pemilik durian kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata pertandingan itu juga bertujuan mendedahkan pekebun kepada sistem pengurusan dusun durian yang lebih baik dan sistematik agar durian kampung premium yang berkualiti tinggi itu dapat dihasilkan secara konsisten.

“Penjagaan pokok adalah aspek penting yang perlu diberi keutamaan seperti pengairan, baja, cahaya dan beberapa teknik yang telah terbukti berjaya dilakukan pekebun durian komersil.

“Kita tidak mahu lagi pokok durian ini hanya terbiar dan pemiliknya hanya datang 'menjenguk' ketika musim luruh sahaja. Jika kita mahu menghasilkan durian kampung premium yang setaraf durian klon lain, usaha gigih perlu dilakukan pekebun dengan kerjasama khidmat nasihat diberi Jabatan Pertanian agar ia mampu memberi pulangan yang lumayan,” ujarnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan