Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Dua pengasas Instagram letak jawatan

Dua pengasas Instagram, Kevin Systrom dan Mike Krieger pada Isnin (24 Sep) masing-masing meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknikal aplikasi Instagram milik Facebook Inc, tanpa memberikan keterangan lanjut mengenai keputusan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Dua pengasas Instagram letak jawatan

Dua pengasas Instagram, Mike Krieger (kiri) dan Kevin Systrom (kanan) di Anugerah Webby ke-16 di New York pada 2012. (Gambar fail: Stephen Chernin/Reuters)

Diterbitkan : 25 Sep 2018 03:39PM Dikemas Kini : 25 Sep 2018 03:50PM

NEW YORK: Dua pengasas Instagram, Kevin Systrom dan Mike Krieger pada Isnin (24 Sep) masing-masing meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknikal aplikasi Instagram milik Facebook Inc, tanpa memberikan keterangan lanjut mengenai keputusan itu.

Encik Systrom dan Encik Krieger meletak jawatan beberapa bulan selepas mantan pengasas Whatsapp milik Facebook, Jan Koum juga meletak jawatan, sekaligus meninggalkan rangkaian sosial itu tanpa pencipta yang menghasilkan dua khidmat sosial terbesarnya.

Keputusan itu juga diambil sedang Facebook dikecam berhubung cara ia melindungi data pengguna dan usahanya untuk menangani penyebaran maklumat palsu, selain para pengguna muda yang menggunakan cara-cara lain untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan.

Menurut catatan di blognya pada Isnin (24 Sep), Encik Systrom berkata beliau dan Encik Krieger bercadang untuk meluangkan masa meneroka "sikap ingin tahu dan kreativiti kami semula".

"Untuk menghasilkan produk baru, kami perlu mengundurkan diri dan memahami apa yang memberi kami inspirasi serta memadankannya dengan apa yang diperlukan dunia. Itulah yang kami rancang untuk lakukan," kata Encik Systrom.

Pengumuman mengenai keputusan mereka dibuat menyusuli beberapa pertikaian yang kerap berlaku dengan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mengenai hala tuju Instagram, lapor Bloomberg.

Sementara itu, Encik Zuckerberg memuji Encik Systrom dan Encik Krieger sebagai "para pemimpin produk yang cemerlang" dan mengharapkan yang terbaik untuk mereka. 

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan