Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir beri amaran M'sia mungkin dikenakan sekatan dagangan

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata pada Isnin (21 Okt), negaranya mungkin akan dikenakan sekatan perdagangan di tengah-tengah amalan dasar perlindungan yang semakin memuncak akibat perang tarif Amerika Syarikat dengan China.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir beri amaran M'sia mungkin dikenakan sekatan dagangan

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 21 Oct 2019 11:09PM Dikemas Kini : 21 Oct 2019 11:13PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata pada Isnin (21 Okt), negaranya mungkin akan dikenakan sekatan perdagangan di tengah-tengah amalan dasar perlindungan yang semakin memuncak akibat perang tarif Amerika Syarikat dengan China.

Dr Mahathir tidak menyebut punca sekatan yang mungkin dikenakan ke atas negaranya yang bergantung kepada eksport itu, tetapi berkata beliau kecewa bahawa para penyokong perdagangan bebas kini mengamalkan dasar perdagangan terhad secara besar-besaran.

"Malangnya, kami tersepit di tengah-tengah," katanya di satu persidangan di Kuala Lumpur, merujuk kepada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China.

"Dari segi ekonomi kami terhubung kepada kedua-dua pasaran, dan secara fizikal kami juga tersepit di antara kedua-duanya atas sebab-sebab geografi. Malah ada yang membayangkan bahawa kami sendiri akan menjadi sasaran sekatan dagangan."

Amerika Syarikat dan China adalah dua daripada tiga destinasi eksport terbesar di Malaysia dari Januari hingga Ogos tahun ini. Singapura adalah destinasi utamanya.

Bagi mengurangkan kesan pertembungan antara dua kuasa besar dunia itu, Dr Mahathir berkata Malaysia sedang meningkatkan kerjasama dengan negara-negara serantau.

Dr Mahathir juga berkata negaranya dibuli oleh negara-negara kuasa besar, merujuk kepada kempen oleh negara-negara Eropah menentang minyak kelapa sawit yang merupakan hasil pertanian utama Malaysia.

Ia menyumbang kepada 2.8 peratus hasil kasar dalam negeri dan 4.5 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.

"Setelah memusnahkan kebanyakan hutan mereka sendiri dan enggan mengurangkan pengeluaran pencemaran mereka, kini mereka cuba membebankan negara miskin dengan menghalang mereka daripada menebang hutan untuk pembangunan dan tujuan ekonomi," katanya.

Kesatuan Eropah awal tahun ini meluluskan akta yang mengeluarkan minyak kelapa sawit daripada kategori bahan bakar yang boleh diperbaharui menjelang 2030 atas keprihatinan kemusnahan hutan.

Terdapat juga kebimbangan bahawa India, antara pembeli utama minyak kelapa sawit Malaysia, akan menyekat import produk itu akibat pertikaian diplomatik ekoran komen-komen yang dibuat Dr Mahathir terhadap langkah New Delhi baru-baru ini berhubung wilayah Kashmir yang dipertikaikan.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan