Images
  • dppms iac
    Anggota Jawatankuasa Penasihat Pelaburan (IAC) yang dibentuk DPPMS dan dipengerusikan oleh Encik Noor Imambeck. (Gambar: DPPMS) 

DPPMS sudah kenal pasti sekitar 5 peniaga untuk dipupuk jadi perniagaan jutaan dolar

SINGAPURA: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) mendedahkan ia sudah mengenal pasti sekitar lima peniaga Melayu/Islam yang berpotensi untuk dipupuk sehingga boleh menjadi syarikat perniagaan yang pendapatannya mencecah $1 juta dan ke atas, dalam tempoh lima tahun.

Ia secara keseluruhannya mahu membantu sehingga 50 syarikat yang menjadi anggota DPPMS, agar dapat berkembang sehingga menjadi syarikat dengan pendapatan S$1 juta.

Peniaga-peniaga tersebut akan dibantu oleh sebuah jawatankuasa berprofil tinggi dipanggil Jawatankuasa Penasihat Pelaburan (IAC), yang baru dibentuk bulan lalu - September.

IAC akan menyediakan nasihat pakar dalam pelbagai aspek perniagaan kepada para usahawan yang terpilih itu, termasuk dari segi "melakar strategi pelaburan" dan strategi perniagaan sehingga boleh "meningkatkan pencapaian dan skala operasi syarikat".

Walaupun dibentuk oleh DPPMS, IAC "akan berfungsi secara bebas dan tidak tertakluk kepada Lembaga Pengarah DPPMS", menurut Presiden DPPMS, Encik Farid Khan.

Presiden DPPMS, Encik Farid Khan.

IAC dipimpin oleh Encik Noor Imambeck selaku Pengerusi. Beliau ialah veteran industri perbankan dengan 47 tahun pengalaman dalam industri itu dan pernah bertugas di Chicago Bank, Arab Banking Corporation dan Abu Dhabi Islamic Bank. Naib Pengerusi IAC pula ialah Encik Basheer Buhari, yang merupakan Pengarah Urusan Ketua Khidmat Pinjaman dan Urusniaga Asia-Pasifik, ING Bank. Beliau mempunyai 38 tahun pengalaman dalam perbankan antarabangsa.

Jadi apakah sasaran IAC dari segi bilangan peniaga yang mahu dibantunya?

"IAC tidak meletakkan sebarang sasaran dari segi jumlah syarikat yang ingin dibantu, tetapi ia akan disejajarkan dengan matlamat makro DPPMS untuk membantu 50 anggota Dewan mencecah pendapatan sehingga S$1 juta. Dan dalam tempoh 10 tahun, membantu 10 syarikat mencapai pendapatan S$100 juta," kata Encik Noor menerusi satu kenyataan media DPPMS.

Tugas tersebut semestinya bukan mudah. Cabaran mengendalikan 'projek' penasihat itu BERITAmediacorp ajukan kepada Encik Basheer dan ini jawapan beliau.

"Satu daripada cabaran IAC adalah untuk mendapat maklumat, khususnya maklumat kewangan dan untuk syarikat berkongsi maklumat mereka dengan IAC juga.

"Saya rasa, dari segi pelaksanaan juga, sebab peranan IAC adalah untuk memberi nasihat sahaja, jadi sebarang keputusan dan pelaksanaan terpulang kepada syarikatnya," kata Encik Basheer secara terus terang.

Naib Pengerusi IAC, Encik Basheer Buhari.

Apakah jenis industri atau profil peniaga yang menjadi fokus untuk IAC beri bantuan?

Menurut Encik Basheer, pihaknya akan memberi bantuan kepada semua anggota. Namun beliau maklum bahawa sebahagian besar anggota DPPMS adalah dari sektor makanan dan minuman (F&B) serta runcit.

"Kedua-dua industri ini berisiko besar dengan margin keuntungan yang tipis dan terdedah kepada perubahan dalam peraturan pemerintah, trend ekonomi dan juga faktor pengeluaran. Mereka hanya boleh meningkatkan pencapaian dengan membuka lebih banyak cawangan menerusi francais atau meneroka pasaran ke luar negara, bagi mencapai paras penjualan yang lebih tinggi," ujar Encik Basheer.

DPPMS kini mempunyai hampir 800 anggota. Encik Farid Khan berharap, para peniaga Melayu/Islam akan memanfaatkan kehadiran IAC itu dan mengemukakan permohonan untuk dibimbing apabila permohonan mula dibuka awal bulan depan.

"Saya berharap mereka akan melihat IAC sebagai sumber tambahan untuk membantu mereka dalam melakarkan strategi perniagaan dan pelaburan dan (ini) salah satu manfaat menjadi anggota Dewan," rayu Encik Farid.

Ditanya, siapakah lima peniaga atau perniagaan yang sudah dikenal pasti itu sejauh ini untuk dipupuk mencecah S$1 juta dan ke atas, DPPMS menjawab ia belum boleh memberikan jawapannya.

Pihaknya masih perlu memproses semua permohonan dahulu, kemudian menapis dan menyenarai pendek para calon, dan menemu duga mereka, sebelum senarai akhir diketahui dan boleh didedahkan. 

- BERITAmediacorp/fz

Top