Images

DPPMS mula terima persatuan peniaga bukan Melayu sebagai anggotanya

BERITAmediacorp: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) kini sudah mula menerima persatuan-persatuan peniaga bukan Melayu sebagai anggotanya.

Antara yang sudahpun menjadi Anggota Bersekutu DPPMS itu termasuklah Persatuan Pengurup Wang Singapura yang mempunyai 230 syarikat di bawah naungannya dan Persatuan Permata Singapura yang meliputi sekitar 50 peniaga.

MENGAPA DPPMS BUKA KEANGGOTAAN SEDEMIKIAN DAN APA MANFAATNYA?

Di tengah-tengah cabaran COVID-19 yang menjejas teruk perniagaan, DPPMS tahun lalu membantu hampir 700 peniaga dari rumah (HBB) selain menjadi tempat rujukan sehenti bagi perniagaan perkahwinan dan penganjuran majlis perkahwinan bawah blok.

Kini DPPMS cuba membantu pula para peniaga Muslim bukan Melayu dan persatuan-persatuan peniaga lain.

Usaha tersebut juga demi menepati sasaran mencapai jumlah anggota sebanyak 1,200 menjelang 2023 berbanding lebih 900 kini.

Persatuan Pengurup Wang Singapura (MCA) sudahpun menyertai DPPMS selaku Anggota Bersekutu sejak lebih sebulan lalu.

Menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS), sejak April tahun lalu, 37 perniagaan pengurup wang berhenti beroperasi buat sementara.

Daripada jumlah itu,12 daripadanya sudahpun gulung tikar.

Mengulas tentang kedudukan persatuan tersebut, Presiden DPPMS, Encik Farid Khan berkata: "Ekonomi kita sudah bertambah baik dan menunjukkan tanda-tanda ia akan bertambah baik, namun pengurup wang, mereka pada tahun lepas terjejas kerana tiada pelancong untuk membeli barangan mereka."

Setiausaha Persatuan Pengurup Wang Singapura (MCA), Encik Oli Mohamed menambah: "Sejak pandemik COVID-19 melanda pada Mac tahun lepas, pendapatan menjunam lebih 90 peratus kerana tiada perniagaan langsung."

"Anggota-anggota kami sebenarnya mengharapkan kami untuk membantu dalam masalah sewa, masalah perbankan dan bayaran di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS). Ada di antara mereka yang mempunyai masalah dengan tuan tanah mereka, jadi mereka datang kepada kami," tambah Encik Oli.

DPPMS SEDIA MEMBANTU

Mendengar masalah-masalah yang dihadapi persatuan tersebut, Encik Farid Khan, membuka pintu persatuannya untuk cuba membantu.

Bantuan yang akan diberikan termasuklah menawarkan khidmat panel pakar seperti peguam dan ahli bank.

Selain itu, ia juga akan menyalurkan peniaga yang memerlukan bantuan kepada pihak-pihak yang boleh membantu seperti agensi-agensi pemerintah dan badan perdagangan lain.

Encik Farid berkata: "Kami menjadi satu penghubung untuk mereka, bagaimana untuk mengembangkan perniagaan-perniagaan mereka. Di sini DPPMS dapat membantu perniagaan ini terutama sekali dalam keadaan kritikal.

"Misi kami untuk membantu antaranya adalah program jangkauan di mana ada geran-geran pemerintah, rangkaian yang kami ada di luar negeri terutamanya di luar negara bagaimana kami boleh luaskan rangkaian yang ada sekarang ini," tambahnya

DPPMS JADI 'SUARA' BAGI BANYAK PERSATUAN NIAGA MUSLIM BUKAN MELAYU JUGA

DPPMS dan MCA menambah, dengan bilangan peniaga yang besar di bawah DPPMS juga, ini akan memberi 'kuasa tawar-menawar' yang lebih berwibawa jika mereka ingin mendapatkan bantuan pemerintah.

DPPMS kini malah sedang berbincang dengan banyak persatuan niaga Muslim yang lain dedah Encik Farid untuk menjadi 'suara' mereka.

Encik Farid menjelaskan: "Yang ada Persatuan Perniagaan Cina Muslim, kita sudah membuka pintu untuk berbual dengan mereka. Mereka perlu mendaftarkan persatuan mereka jadi ia mengambil waktu. Kami sudah mendekati orang Myanmar Islam yang ada perniagaan di Singapura, mereka ada juga persatuan mereka sendiri, perniagaan milik orang Bangladesh, Pakistan yang ada perniagaan di sini."

"Kami ingin bergabung dengan mereka dan jadikan mereka di bawah naungan satu organisasi di mana suara kami boleh lebih didengar Pemerintah dan mereka (Pemerintah) hanya perlu berurusan dengan DEWAN sahaja," tambah Encik Farid.

APA MANFAATNYA UNTUK PARA PENIAGA TEMPATAN?

Encik Farid berkata, peniaga Melayu pula boleh memanfaatkan rangkaian persatuan-persatuan tersebut jika mahu menyerantau ke luar negara misalnya ke Myanmar, Bangladesh dan Pakistan.

Pendeknya, ia boleh "membuka pasaran kepada masyarakat Islam di Singapura" kata Encik Farid. 

- BERITAmediacorp/nk

Top