Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

DPPMS lancar 2 program baru; bantu peniaga Melayu/Islam tembusi pasaran halal, antarabangsa

Dua inisiatif dilancarkan baru-baru ini bagi menyediakan lebih banyak wadah untuk para peniaga Melayu/Islam berkembang maju dan menajamkan lagi kemahiran mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
DPPMS lancar 2 program baru; bantu peniaga Melayu/Islam tembusi pasaran halal, antarabangsa

DPPMS melancarkan EIR dan PPF untuk membantu para peniaga Melayu/Islam mengharungi cabaran COVID-19. (Gambar: SMCCI/Facebook)

SINGAPURA: Dua inisiatif dilancarkan baru-baru ini bagi menyediakan lebih banyak wadah untuk para peniaga Melayu/Islam berkembang maju dan menajamkan lagi kemahiran mereka.

Sasaran Latihan Eksekutif (EIR) dan Dana Peniaga Pintar (PPF) yang diperkenalkan oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) adalah untuk melengkapi para peniaga dengan amalan-amalan terbaik, kemahiran dan pengetahuan untuk terus bertahan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Sedang para peniaga berdepan dengan cabaran-cabaran yang kian berubah-ubah sepanjang tahun lalu, adalah penting untuk mereka terus mencatat pertumbuhan dan memupuk daya bingkas serta kekal berdaya saing, tekan DPPMS dalam kenyataan medianya pada Isnin (2 Ogos).

Tambah pertubuhan itu lagi, kedua-dua inisiatif tersebut seiring dengan usaha Singapura untuk membantu syarikat-syarikat perusahaan dan para peniaga mengatasi cabaran-cabaran angkara penularan koronavirus.

PROGRAM EIR

Program EIR bermatlamat untuk membantu para peniaga, syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) menembusi pasaran baru termasuk industri halal dan industri pengantarabangsaan.

Para peserta juga berpeluang untuk meraih manfaat daripada sesi-sesi rundingan EIR yang turut melibatkan para pakar bertauliah dalam industri-industri berkenaan.

Terdapat dua program di bawah inisiatif itu - GROW GLOBAL bagi industri pengantarabangsaan dan GROW HALAL untuk industri halal.

Sepanjang program-program tersebut, para perunding akan memberi bimbingan, panduan dan sokongan kepada para peniaga, selain menyarankan peluang-peluang untuk melakar semula dan mempertingkatkan strategi-strategi yang boleh dilaksanakan.

Dalam pada itu, mereka akan menyelaraskan dan menyepadukan usaha menjalin hubungan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan, rakan-rakan niaga antarabangsa dan agensi-agensi lain yang akan membantu para peniaga bersiap sedia untuk berkembang maju.

Program EIR berharga antara S$500 dengan S$1,000 bergantung kepada status perniagaan - sama ada sudah lama bertapak dalam industri ataupun baru berjinak-jinak menembusi pasaran.

Para peniaga yang berminat boleh mengisi borang di https://bit.ly/3l5OQLc (GROW GLOBAL dan https://bit.ly/3i7vAeC (GROW HALAL) dan menghantarkannya menerusi emel kepada rawdahismail [at] smcci.org.sg.

DANA PENIAGA PINTAR

Dilancarkan dengan sokongan Enterprise Singapore menerusi program Mempertingkat Daya Tahan Perusahaan SG Together (STEER), dana bernilai S$300,000 itu membolehkan para anggota DPPMS untuk memanfaatkan sumber sedia ada bagi menajamkan kemahiran dan keupayaan perniagaan mereka.

Dana tersebut boleh digunakan oleh para anggota untuk membiayai kursus-kursus DPPMS dan kos bekerjasama dengan pakar perunding seperti dalam program GROW GLOBAL dan GROW HALAL.

Bergantung kepada tempoh keahlian, setiap anggota DPPMS boleh menerima sokongan antara S$300 dengan S$1,000, menurut pertubuhan itu.

Para anggota yang berminat boleh membuat pendaftaran bagi mendapatkan sokongan dana itu menerusi portal DPPMS di https://www.learn.smcci.org.sg/smcci-peniaga-pintar-fund.

Sumber : BERITA Mediacorp/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan