Images

DPPMS gesa syarikat Melayu jalani transformasi

BERITAmediacorp: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyambut baik lanjutan sehingga tujuh bulan bagi Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) sebagai berupaya membantu syarikat-syarikat "bertahan lebih lama" daripada pandemik COVID-19.

Namun, DPPMS akur syarikat-syarikat Melayu masih perlu menjalani transformasi.

Seperti yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam Kenyataan Menterinya pada Isnin (17 Ogos) bantuan tambahan itu adalah bagi membantu syarikat-syarikat mengharungi krisis COVID-19.

Antaranya, Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) yang sepatutnya berakhir pada Ogos 2020, yang kini akan dilanjutkan sehingga Mac 2021.

Bermula bulan depan, skim subsidi gaji itu akan menampung antara 10 hingga 50 peratus gaji pekerja bergantung kepada sektor.

Naib Presiden DPPMS, Cik Fadilah Majid berkata: "Kami juga gembira kerana ia bukan sahaja boleh membantu syarikat bertahan lebih lama dan juga dapat menyelamatkan pekerjaan. Kerana tanpa bantuan ini, kemungkinan lebih ramai pekerja akan hilang pekerjaan kerana syarikat tidak dapat bertahan."

BANYAK SYARIKAT PERKAHWINAN DIJANGKA GULUNG TIKAR

Dalam wawancara bersama BERITAmediacorp, Cik Fadilah turut berkongsi bahawa kebanyakan peniaga Melayu/Islam terdiri daripada mereka yang berkhidmat dalam industri pelancongan, makanan dan minuman (F&B) dan juga perkahwinan. Mereka juga adalah antara yang teruk terjejas.

"Sebahagian industri seperti perkahwinan, kami lihat akan ada lebih banyak syarikat yang gulung tikar. Selalunya para anggota kami kebanyakan daripada sektor perkahwinan, mereka mengadakan majlis yang sehingga 1,000. Sekarang hanya 50," tambah Cik Fadilah.

Lantaran itulah, DPPMS berharap Pemerintah akan turut memberi perhatian kepada sektor perniagaan perkahwinan kerana jika tidak, lebih banyak syarikat berkaitan akan terpaksa tutup kedai.

SYARIKAT PELANCONGAN PERLU BERTINDAK PROAKTIF, JANGAN SETAKAT MENUNGGU INDUSTRI PELANCONGAN DIBUKA

Dalam pada itu ia juga akur, syarikat-syarikat di bawah naungannya seperti perniagaan pelancongan perlu menjalankan transformasi atau menceburi perniagaan baru agar dapat terus meraih pendapatan dan mengekalkan pekerja.

"Industri pelancongan ini tidak akan dibuka secepat mungkin. Mungkin akan mengambil masa yang lama (setahun?). Jadi saya rasa kalau mereka mahu menunggu industri pelancongan ini dibuka, kita akan melihat lebih banyak yang gulung tikar. Kerana tiada pendapatan, mereka harus membayar sewa, mereka harus membayar pekerja, jadi kami menggalakkan mereka menjalani transformasi," ujar Cik Fadilah.

Syarikat-syarikat pelancongan merupakan antara sektor yang mendapat sokongan gaji 50 peratus di bawah JSS. 

- BERITAmediacorp/fz

Top