Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

DPPMS buka pejabat baru di Onan Road; dampingi peniaga, usahawan Melayu/Islam bahagian timur S'pura

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) mengorak langkah untuk memperluaskan usaha pendampingannya dengan menubuhkan sebuah pejabat baru di Onan Road.

Anggaran Waktu Membaca:
DPPMS buka pejabat baru di Onan Road; dampingi peniaga, usahawan Melayu/Islam bahagian timur S'pura

Pejabat baru DPPMS di Onan Road. (Gambar: DPPMS)

SINGAPURA: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) mengorak langkah untuk memperluaskan usaha pendampingannya dengan menubuhkan sebuah pejabat baru di Onan Road.

Langkah itu sejajar dengan visi pertubuhan tersebut untuk menjadi institusi perniagaan
Melayu/Islam terulung di Singapura, menurut DPPMS dalam kenyataan medianya hari ini (27 Ogos).

Terletak di 35 Onan Road, pejabat baru tersebut sebagai "landasan operasi" tambahan buat DPPMS sekali gus bertindak selaku wadah bagi dewan itu menyediakan sokongan kepada perniagaan serta perusahaan di bahagian timur negara ini.

Ini termasuk menyasarkan perniagaan di kawasan Geylang Serai merangkumi Joo Chiat Road, Haig Road, Pasar Geylang Serai dan Kompleks Tanjong Katong, menurut kenyataan itu.

Di lokasi baru itu juga, ada seluruh tingkat yang diperuntukkan khas buat DPPMS menjalankan kegiatan untuk para ahlinya seperti sesi perangkaian, perbincangan ringkas tidak rasmi dan bengkel pembangunan keupayaan.

Selain itu, terdapat juga rancangan lanjut bagi menyediakan lebih banyak kemudahan agar para ahli dapat mencari persekitaran yang kondusif untuk menjalankan perniagaan di Geylang Serai.

(Gambar: DPPMS)

(Gambar: DPPMS)

Misalnya, sejak premis baru itu mula beroperasi pada 17 Julai lalu, DPPMS memulakan inisiatif dipanggil "Drop by, Say Hi @ SMCCI" pada setiap Selasa.

Inisiatif itu mengajak para ahli dan pemilik perniagaan untuk singgah ke pejabatnya bagi mendapatkan lebih banyak maklmuat tentang cara bagaimana mereka boleh memanfaatkan pelbagai khidmat dan inisiatif DPPMS daripada para pegawai yang bertugas.

Presiden DPPMS Farid Khan berkata peluasan ke kawasan Geylang Serai mengukuhkan lagi kehadiran dewan itu. DPPMS diperluaskan ke nadi masyarakat Melayu/Islam setempat itu untuk berada lebih dekat lagi dengan masyarakat perniagaan Melayu/Islam agar boleh mendampingi mereka dengan lebih baik. Ini di samping menjalin kerjasama dengan rakan-rakan kongsi utama Wisma Geylang Serai serta CDC Tenggara.

"Kami yakin langkah ini akan membawa lebih banyak peluang buat Dewan dan ahli-ahli kami di mana kami mengalu-alukan kerjasama dengan lebih ramai pemilik perniagaan Melayu/Islam," ujar beliau.

DPPMS akan tetap meneruskan operasinya di 15 Jalan Pinang dan pemilik perniagaan boleh memilih untuk melawat mana-mana pejabatnya bagi mendapatkan bantuan jika perlu, tambah kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, perkhidmatan Dokumentasi Perdagangan Dewan akan hanya dikendalikan secara eksklusif di pejabatnya di 15 Jalan Pinang buat masa ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan