Images
  • disney+ logo file
    (Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)

Disney akan tutup kebanyakan saluran TV di Asia Tenggara

SINGAPURA: Disney akan menutup kebanyakan saluran televisyennya di Asia Tenggara dan Hong Kong sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk mengembangkan lagi perkhidmatan penstrimannya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, The Walt Disney Company menyatakan pada Selasa (27 Apr) bahawa pihaknya sedang "menggabungkan perniagaan Rangkaian Media miliknya terutama di Asia Tenggara dan Hong Kong", sebagai sebahagian daripada "usaha global syarikat itu untuk beralih ke arah model langsung-kepada-pengguna-dahulu dan terus mengembangkan" perkhidmatan penstrimannya.

Menurut Variety, saluran yang akan ditutup itu termasuk Fox, Fox Crime, Fox Life dan FX; saluran-saluran filem Fox Action Movies, Fox Family Movies, Fox Movies dan Star Movies China. Saluran sukan Fox Sports, Fox Sports 2, Fox Sports 3, Star Sports 1 dan Star Sports 2 juga akan ditutup.

Saluran Disney Channel dan Disney Junior, serta perkhidmatan berupa fakta Nat Geo People dan SCM Legend, juga akan ditutup, lapor Variety.

Mulai 1 Oktober 2021, Disney akan mengendalikan "portfolio televisyen yang diperkemas" meliputi saluran bahasa Cina - Star Chinese Channel dan Star Chinese Movies - dan Hiburan berupa Fakta - National Geographic Channel dan Nat Geo Wild.

"Usaha ini akan membantu kami menyelaraskan sumber-sumber kami dengan keperluan perniagaan sekarang dan masa depan secara lebih cekap dan berkesan," tambah syarikat itu.

Disney+, perkhidmatan penstriman syarikat tersebut, sekarang tersedia di dua pasaran Asia Tenggara, Singapura dan Indonesia. Syarikat itu menyatakan pihaknya akan terus melancarkan perkhidmatan tersebut di lebih banyak pasaran di rantau ini termasuk Hong Kong tahun ini.

Syarikat telko tempatan StarHub menyatakan terdapat "kesan yang minimum" ke atas para pelanggannya, yang dapat terus menonton filem, siri dan dokumentari melalui Disney+.

"StarHub adalah Pengedar Rasmi Disney+ di Singapura, setelah memeterai perjanjian eksklusif dengan The Walt Disney Company," kata StarHub dalam satu kenyataan.

SingTel menyatakan ia kini "sedang bekerjasama dengan Disney untuk memahami perkara ini dengan lebih terperinci dan menilai kemungkinan kesannya".

Disney+ dilancarkan di Singapura awal tahun ini dan menawarkan lebih 650 filem dan 15,000 episod kandungan hiburan.

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top