Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Dewi Hartaty: Penyelarasan sijil halal global penting bagi pertumbuhan industri

Kepesatan perkembangan industri makanan halal masih berdepan halangan utama berikutan ketiadaan satu rangka kerja pensijilan halal yang seragam. Demikian menurut Warees Halal Limited (WHL atau Warees), sebuah syarikat di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Anggaran Waktu Membaca:
Dewi Hartaty: Penyelarasan sijil halal global penting bagi pertumbuhan industri

Cik Dewi Hartaty Suraaty, CEO Warees Halal Limited, mengongsi tentang trend-trend utama industri makanan halal (Gambar: BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 19 Jan 2020 10:31PM Dikemas Kini : 19 Jan 2020 10:36PM

SINGAPURA: Kepesatan perkembangan industri makanan halal masih berdepan halangan utama berikutan ketiadaan satu rangka kerja pensijilan halal yang seragam. Demikian menurut Warees Halal Limited (WHL atau Warees), sebuah syarikat di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Ketua Pegawai Eksekutif Warees, Dewi Hartaty Suratty berkata keadaan itu pada akhirnya boleh memberi kesan terhadap industri tersebut, termasuk menjejaskan potensi pertumbuhannya.

"Tanpa sebarang sistem pensijilan yang seragam atau selaras, ia boleh menjejaskan perdagangan halal rentas sempadan dan merencatkan pertumbuhan industri makanan halal terbabit," katanya dalam satu ulasan yang turut dikongsi dengan Bernama.

PENGIKTIRAFAN 'HALAL' BERBEZA IKUT PASARAN

Mengulas selanjutnya, beliau berkata cabaran lain termasuk aspek pengesahan di satu-satu negara yang sebaliknya tidak semestinya diterima di negara lain.

"Lebih menyukarkan keadaan, wujudnya pelbagai takrifan berbeza oleh kebanyakan pengeluar sijil berkenaan mengenai aspek halal tersebut."

Beliau berkata sebagai contoh, negara-negara seperti Malaysia, Brunei dan Singapura membenarkan amalan teknologi 'stunning' (kaedah renjatan elektrik dengan syarat tertentu) dalam penyembelihan ayam manakala Arab Saudi melarangnya.

Contoh lain perbezaan pendapat adalah membabitkan penggunaan cuka wain, katanya.

Contoh lambang halal yang dikeluarkan Majelis Ulama Indonesia

“Malaysia menganggap produk itu sebagai haram sekiranya dihasilkan menerusi campur tangan manusia. Indonesia sebaliknya, melabelkan cuka wain sebagai halal tidak kiralah ia dihasilkan secara semula jadi atau menerusi proses kejuruteraan.

“Perbezaan sedemikian menjadikan proses persetujuan membabitkan aspek pensijilan halal baik di peringkat global mahu pun rantau, adalah mencabar," katanya.

SELARASKAN SIJIL PENTING BAGI TANGANI CABARAN MASA DEPAN

Berikutan itu, kata Cik Dewi Hartaty, syarikat-syarikat yang beroperasi dalam industri makanan halal dan menyasarkan untuk eksport ke pasaran berbeza sebaliknya berdepan cabaran peningkatan kos jika mahu mengekalkan proses pengeluaran pelbagai atau pensijilan halal bagi mematuhi piawaian di setiap pasaran import berkenaan.

“Akibatnya, ia menimbulkan kesukaran kepada sebahagian besar syarikat selain turut menjejaskan perdagangan halal itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama dari segi penyelarasan itu amat diperlukan bagi menangani masalah serta cabaran terbabit.

Beliau berpendapat, kekurangan aspek piawaian pensijilan halal global yang seragam turut menyekat potensi dan peluang pengembangan industri, khususnya ketika semakin banyak syarikat makanan dan negara bukan Islam bertindak menambah pelaburan dan meningkatkan pengetahuan serta kepakaran dalam industri itu.

(Gambar fail: Tengku Bahar/AFP)

Gambar fail logo halal di Malaysia

Malah, kepentingan penyelarasan pensijilan itu semakin ketara ketika negara termasuk Indonesia memperkenalkan peraturan baru dan kerangka pensijilan selain pengenalan teknologi baru seperti blockchain yang diuji dalam rantaian bekalan makanan halal.

JUMLAH PRODUK BERSIJIL HALAL S'PURA LONJAK SEGANDA

Bagaimanapun, kata Cik Dewi Hartaty, industri tersebut sedang menuju hala tuju yang tepat menerusi pelancaran badan-badan seperti Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa (IHAB) dan Forum Akreditasi Halal Antarabangsa (IHAF) yang kini beroperasi.

Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata badan-badan terbabit perlu saling bekerjasama dan sependapat dalam perkara asas seperti had ethanol yang dibenarkan dalam perisa makanan, teknik ujian makmal dan proses pensijilan bagi mengurangkan halangan dalam perdagangan halal tersebut.

"Malah, usaha mengenal pasti peneraju - sama ada membabitkan blok, negara atau badan pensijilan, juga membantu dari segi mengetengahkan perbincangan berterusan mengenai penyeragaman piawaian pensijilan halal di seluruh dunia selain boleh dicontohi oleh industri lain," katanya.

Di Singapura misalnya, peningkatan industri makanan halal semakin ketara menerusi pertumbuhan pensijilan halal di republik ini, katanya.

Statistik pihak MUIS menunjukkan kira-kira 4,500 premis dan 55,000 produk sudah mendapat pengesahan halal pada 2018 iaitu meningkat dua kali ganda berbanding dekad lepas.

Beliau berkata pihak seperti agensi pemerintah, badan industri dan perniagaan juga banyak melaksanakan pelbagai usaha untuk melonjakkan pertumbuhan dan mengembangkan lagi industri makanan halal.

Ini termasuk membantu Singapura memiliki satu hab halal khusus yang dijadual siap pada 2021 bagi membolehkan lebih banyak pengeluar makanan halal tempatan melakukan eksport ke pasaran antarabangsa.

Menurutnya, laporan terkini Ekonomi Islam Antarabangsa 2019/2020 menunjukkan perbelanjaan membabitkan makanan dan minuman halal dijangka mencecah AS$1.9 trilion (S$2.56 trilion) menjelang 2023.

Selain itu, pada masa sama, nilai pasaran makanan halal global turut dijangka berkembang pada kadar terkumpul tahunan melebihi 11 peratus kepada AS$2.6 trilion (S$3.5 trilion) menjelang 2023.

Warees akan berada di FHA-Food Beverage, acara perdagangan makanan dan minuman terbesar Asia di Singapura Expo selama empat hari bermula 31 Mac, 2020.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan