Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Dek larisnya lemang periuk kera untuk Hari Raya, tumbuhan itu diancam kepupusan

Lemang periuk kera kini semakin popular dan pasti menjadi pilihan untuk juadah sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang kerana ia dikatakan lebih enak daripada lemang yang dimasak dalam buluh.

Anggaran Waktu Membaca:
Dek larisnya lemang periuk kera untuk Hari Raya, tumbuhan itu diancam kepupusan

Lemang periuk kera. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Jun 2019 12:25AM Dikemas Kini : 02 Jun 2019 12:27AM

KUALA LUMPUR: Lemang periuk kera kini semakin popular dan pasti menjadi pilihan untuk juadah sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang kerana ia dikatakan lebih enak daripada lemang yang dimasak dalam buluh.

Bagaimanapun, penghasilan lemang menggunakan kelongsong periuk kera itu menimbulkan keresahan dalam kalangan pencinta alam kerana penuaian kelongsong periuk kera secara keterlaluan boleh membawa kepada kepupusan spesies tumbuhan itu.

Pensyarah Universiti Pertanian Malaysia Dr K. Daljit Singh berkata sekiranya penjualan lemang periuk kera ingin diteruskan, pihak berkuasa perlu segera meneliti cara terbaik untuk memelihara tumbuhan itu daripada diancam kepupusan.

MUNGKIN MASANYA UNTUK TINGKATKAN PENANAMAN SEMULA

“Perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu… penguatkuasaan perlu dilakukan dan sekiranya masyarakat berpendapat perniagaan ini boleh membantu menambah pendapatan, maka seharusnya pihak berkuasa perlu juga meningkatkan aktiviti penanaman semula.

“Hal ini bagi memastikan populasi periuk kera tidak akan terjejas dan pengetahuan tentang jenis-jenis periuk kera yang terancam atau tidak itu perlu diketahui umum agar mereka dapat membezakannya apabila membeli daripada peniaga,” kata Daljit yang juga pakar dalam bidang pemulihan perhutanan.

Isu yang meraih perhatian di media sosial itu dibangkitkan oleh Zamil Penyelidik dan Pensyarah dalam bidang Botani & Pemuliharaan Biologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dr Abdul Latiff Mohamad, yang melahirkan kebimbangannya terhadap aktiviti menuai periuk kera secara berleluasa ketika ini.

Prof Abdul Latif berkata kenyataan peniaga yang menafikan tindakan mereka mengancam populasi periuk kera adalah tidak relevan kerana hanya pihak di Institut Penyelidikan Perhutanan dan pakar-pakar dari universiti sahaja boleh menilai faktor yang mengancam tumbuhan tersebut.

PERIUK KERA TIDAK DIKUTIP DARI KAWASAN HUTAN SIMPANAN

Dalam pada itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop, berkata pihaknya sudahpun menjalankan pemeriksaan terhadap kumpulan pencari periuk kera di Johor dan akan memastikan periuk kera itu tidak diambil dari kawasan hutan simpanan.

“Kelongsong periuk kera yang digunakan untuk membuat lemang itu tidak diwartakan di bawah spesies yang dilindungi tetapi pihak kami sudah mendapatkan kenyataan daripada pencari bagi memastikan ia tidak dikutip di kawasan hutan simpan. Jika di luar kawasan hutan simpan, adalah di luar bidang kuasa kami,” katanya.

Beliau juga turut berkata hasil tinjauan pihaknya di rumah pencari periuk kera itu mendapati sebanyak 140,000 kelongsong periuk kera dikutip dan kutipan itu dijalankan di luar kawasan hutan simpan.

Menurut Yussainy lagi, pencari kelongsong periuk kera ini adakalanya mendapatkan bekalan mereka daripada Orang Asli yang menjual pada harga RM25 (S$8.20) bagi 100 kelongsong periuk kera.

Beliau berkata kini pihaknya sedang meneliti segala cadangan daripada para pakar dan penyelidik tumbuhan yang berhasrat agar kesemua spesis periuk kera diwartakan sebagai tumbuhan yang dilindungi. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan