Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Davinder Singh tinggalkan Drew & Napier, buka firma guaman sendiri

Peguam terkenal Davinder Singh akan meninggalkan Drew & Napier untuk menubuhkan firma guamannya sendiri, selepas 37 tahun bersama firma itu. Ini diumumkan oleh Peguam Kanan tersebut dalam satu kenyataan bersama dengan firma undang-undang itu pada Khamis (24 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Davinder Singh tinggalkan Drew & Napier, buka firma guaman sendiri

Encik Davinder Singh di mahkamah pada 16 Oktober 2018 (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Jan 2019 04:01PM Dikemas Kini : 25 Jan 2019 12:24AM

SINGAPURA: Peguam terkenal Davinder Singh akan meninggalkan Drew & Napier untuk menubuhkan firma guamannya sendiri, selepas 37 tahun bersama firma itu. Ini diumumkan oleh Peguam Kanan tersebut dalam satu kenyataan bersama dengan firma undang-undang itu pada Khamis (24 Jan).

Jawatan terakhir Encik Singh, 61, adalah sebagai Pengerusi Eksekutif Drew & Napier. Beliau akan disertai oleh pengarah Jaikanth Shankar dan Pardeep Singh Khosa di firma baru itu.

Nama firma baru itu tidak didedahkan, namun ia akan memberi tumpuan kepada peleraian pertikaian dan timbang tara antarabangsa. Encik Singh dan kedua-dua pengarah juga berhasrat untuk melatih peguam-peguam baru, menurut pengumuman itu.

Drew & Napier dianggap sebagai salah satu daripada firma undang-undang "Big Four" (empat firma terbesar) di Singapura, bersama dengan Rajah & Tann, Allen & Gledhill dan WongPartnership.

Seorang jurucakap Drew & Napier memberitahu Mediacorp bahawa Encik Singh akan meninggalkan syarikat tersebut pada penghujung suku pertama tahun ini.

Semasa ketiadaannya, Peguam Kanan Jimmy Yim akan mengambil alih sebagai pengerusi lembaga.

Encik Singh berkata beliau yakin bahawa pasukan baru di Drew & Napier sudah bersedia dan firma tersebut "dalam jagaan orang yang berkeupayaan".

"Oleh itu saya percaya sudah tiba masanya untuk saya beralih ke lembaran baru," katanya. "Saya juga sangat beruntung dapat melakukan demikian pada masa yang saya pilih."

Encik Singh tamat pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 1982 dan diterima masuk ke badan peguam setahun kemudian.

Beliau adalah antara kumpulan pertama Peguam Kanan yang dilantik pada 1997 dan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di Drew & Napier selama 20 tahun.

Beliau bertindak dalam pelbagai kes yang merangkumi pelbagai jenis undang-undang jenayah, perbankan dan kes fitnah.

Baru-baru ini, Encik Davinder Singh mewakili Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam tuntutannya ke atas blogger Leong Sze Hian, yang dituduh memfitnah PM Lee.

Sebelum itu, beliau mewakili Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dalam tuntutan mahkamah berprofil tinggi terhadap Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim, Low Thia Khiang dan Pritam Singh atas dakwaan pencabulan kewajipan fidusiari dalam mengendalikan wang majlis perbandaran.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan