Images
  • marii
    Gambar hiasan MARii di sebuah pameran. (Gambar: MARii/Facebook)

Dasar Automotif M'sia diharap peroleh peruntukan dana mencukupi dalam Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada bulan depan memperuntukkan dana secukupnya bagi pelaksanaan fasa pertama Dasar Automotif Negara (NAP) 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii Madani Sahari berkata fasa pertama NAP 2019, yang akan bermula tahun depan sehingga 2023 atau 2024, adalah kesinambungan kepada NAP 2014 dengan penekanan kepada penambahbaikan dasar-dasar polisi dengan teknologi baharu termasuk aspek modal insan dan kecekapan tenaga pekerja.

“Kita sudah hantar (permohonan peruntukan) dan mengharapkan supaya pelaksanaan fasa pertama NAP 2019 itu dibuat dengan dana yang mencukupi,” ujar Encik Madani.

Belanjawan 2020 itu dijadual dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Oktober depan.

Pada masa yang sama, Encik Madani menggesa kalangan penggiat industri supaya turut memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan usaha pembangunan sektor tersebut.

“Kita sering beranggapan dalam belanjawan ini, hanya kerajaan sahaja yang beri tetapi pemain industri juga perlu memberi sokongan.

“Mereka mahukan insentif tetapi pada masa yang sama insentif itu tidak dapat diteruskan sekiranya aktiviti itu tidak dilaksanakan oleh pihak industri sendiri,” tegas beliau lanjut.

Malah, beliau menambah dana yang disalurkan mungkin akan berkurangan sekiranya sasaran yang ditetapkan terbukti gagal untuk dicapai. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top