Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Cuti bergaji 26 minggu untuk jaga anak? Inilah antara faedah sebilangan pekerja S'pura

Para pekerja syarikat minuman keras Britain Diageo di Singapura tidak lama lagi akan diberikan lebih banyak cuti bergaji. Mulai 1 Julai, kedua-dua kakitangan lelaki dan wanita boleh mengambil cuti bergaji sehingga 26 minggu apabila mereka menimang cahaya mata.

Anggaran Waktu Membaca:
Cuti bergaji 26 minggu untuk jaga anak? Inilah antara faedah sebilangan pekerja S'pura

(Gambar: Unsplash/Kevin Liang)

Diterbitkan : 29 May 2019 03:36PM Dikemas Kini : 29 May 2019 03:41PM

SINGAPURA: Para pekerja syarikat minuman keras Britain Diageo di Singapura tidak lama lagi akan diberikan lebih banyak cuti bergaji.

Mulai 1 Julai, kedua-dua kakitangan lelaki dan wanita boleh mengambil cuti bergaji sehingga 26 minggu apabila mereka menimang cahaya mata.

Buat masa ini, kesemua 150 pekerjanya di Singapura yang turut menempatkan ibu pejabat syarikat tersebut bagi rantau Asia Pasifik, mendapat 16 minggu cuti bersalin dan dua minggu cuti bapa, seperti yang diwajibkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Perubahan-perubahan itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat tersebut untuk mewujudkan tenaga kerja yang "rencam dan inklusif sepenuhnya", kata Presiden bagi rantau China dan AsiaPasifik Sam Fischer.

Selain Singapura dan negara asalnya, dasar cuti ibu bapa itu akan diperluaskan untuk merangkumi pejabat-pejabat Diageo di pasaran-pasaran lain termasuk Amerika Utara, Sepanyol, Thailand dan Australia.

Sebuah lagi syarikat yang mengemas kini faedah-faedahnya untuk menawarkan cuti bersalin tanpa mengira jantina adalah konglomerat data kewangan dan media, Bloomberg.

Para pekerja yang menjadi pengasuh utama kini mendapat 24 minggu cuti bergaji dan 10 "hari peralihan", yang membolehkan para pekerja untuk mengambil cuti satu hari setiap minggu sepanjang 10 minggu berturut-turut selepas kembali bertugas.

Sebelum ini, para pengasuh utama, tidak mengira jantina, berhak menerima 18 minggu cuti untuk menjaga keluarga.

Jumlah cuti yang ditawarkan oleh Diageo dan Bloomberg yang menjangkaui peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, mungkin merupakan antara dasar cuti penjagaan keluarga yang paling berbaloi di negara ini, menurut pengurus cawangan ManpowerGroup di Singapura, Linda Teo.

Sementara itu, Netflix tidak menawarkan cuti penjagaan keluarga yang tetap, selaras dengan sistem "cuti tanpa batas" syarikat itu yang unik - selagi "para pekerja dan pengurus bekerja rapat untuk memahami keperluan keluarga pekerja dan juga syarikat".

Cik Teo menambah, tawaran cuti penjagaan keluarga yang lebih baik juga merupakan cara untuk menarik dan mengekalkan bakat, tambah pakar sumber manusia tersebut.

Sungguhpun demikian, syarikat-syarikat yang menawarkan dasar-dasar sedemikian hanya segelintir saja di Singapura, dengan kos menjadi salah satu faktornya.

"Selain gaji bulanan dan kos tambahan yang dibiaya untuk mengambil pekerja sementara, para majiikan perlu memastikan daya penghasilan tidak terjejas apabila pekerja berkenaan bercuti," kata Cik Teo.

Cik Teo dari ManpowerGroup Singapore juga menggesa syarikat-syarikat supaya memantau dan memastikan para pekerja tidak berasa khuatir apabila memohon untuk mendapatkan faedah tambahan.

Cik Teo turut menarik perhatian kepada para pekerja yang mungkin memilih untuk tidak mengambil cuti panjang kerana khuatir ia akan menjejas pekerjaan dan kerjaya mereka.

Sesetengah syarikat memberitahu Mediacorp bahawa mereka menawarkan pelbagai aturan kerja fleksibel dan melaksanakan langkah-langkah untuk memupuk budaya tempat kerja positif, seperti meraih sokongan para penyelia.

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan