Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

COVID-19: Dari pengilangan hingga ke runcit, firma S'pura siap siaga hadapi isu bekalan

Firma-firma Singapura sedang bersiap siaga terhadap kemungkinan berlakunya gangguan bekalan sedang kilang dan kedai di beberapa bahagian di China masih ditutup di tengah-tengah penularan wabak COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Dari pengilangan hingga ke runcit, firma S'pura siap siaga hadapi isu bekalan

Para pekerja di sebuah kemudahan pengilangan Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 15 Feb 2020 08:52AM Dikemas Kini : 15 Feb 2020 11:47PM

SINGAPURA: Firma-firma Singapura sedang bersiap siaga terhadap kemungkinan berlakunya gangguan bekalan sedang kilang dan kedai di beberapa bahagian di China masih ditutup di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.

Kilang dan kedai yang menyambung semula operasi minggu ini malah kurang pasti bila ia akan beroperasi pada kapasiti penuh, firma-firma tempatan memberitahu Mediacorp sambil memberikan kemas kini oleh rakan niaga mereka di China. Ini kerana para pekerja yang pulang ke kampung halaman bagi sambutan Tahun Baru Cina tidak dibenarkan balik semula ke sini memandangkan bandar ditutup dan sekatan perjalanan dikuatkuasakan.

Penutupan perniagaan yang dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya 9 Februari di kebanyakan bandar China, yang diarahkan oleh pihak berkuasa untuk mengawal penularan wabak virus korona maut itu, sudah menyebabkan gangguan kepada beberapa rangkaian bekalan.

Menukil perbualan bersama sesetengah firma tempatan, Pengerusi Enterprise Singapore Peter Ong berkata di satu sidang media minggu lalu bahawa ia "sangat sukar" untuk membawa barang-barangan masuk atau keluar dari China.

Sesetengah sektor menyaksikan kemelesetan lebih besar. Misalnya, firma-firma dalam sektor logistik menyaksikan kejatuhan sebanyak 70 peratus pada perniagaan mereka akibat cabaran pengangkutan di China, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Enterprise Singapore Png Cheong Boon.

Industri semikonduktor juga mungkin terjejas, kata beberapa penganalisis, kerana Hubei - tempat di mana wabak virus itu tercetus - adalah salah satu daripada hab pengilangan utama China untuk keluli, automobil dan elektronik. Perniagaan di sana disuruh terus tutup sehingga 13 Februari.

Mengulas kajian kilat yang dijalankan dalam kalangan 40 ahli, Persatuan Industri Semikonduktor Singapura (SSIA) memberitahu Mediacorp bahawa 80 peratus daripada mereka yang memberikan respons sudahpun melihat kesan daripada penularan wabak itu.

Kebanyakan daripada mereka melaporkan isu pengerahan kakitangan dan kemerosotan pada perniagaan yang berkaitan dengan China manakala sekitar 20 peratus menyuarakan keprihatan terhadap kekurangan bekalan atau kelengahan pada penghantaran daripada para pembekal China.

Walaupun sebahagian besar responden bersetuju bahawa adalah terlalu awal untuk menilai kesan sepenuhnya terhadap perniagaan mereka, wabak COVID-19 kemungkinan akan melembapkan pertumbuhan dan menggagalkan pemulihan yang diharapkan dalam industri tahun ini, kata Pengarah Eksekutif SSIA Ang Wee Seng.

Firma pengilangan kontrak tempatan Watson EP Industries pula menyatakan kilangnya di Dongguan sudah dibuka semula pada 10 Februari tetapi hanya sekitar 50 peratus daripada 350 kakitangan yang sudah kembali bertugas.

Syarikat itu menyatakan stok simpanannya boleh bertahan selama sekurang-kurangnya dua bulan.

Jika keadaan terus berlarutan, ia mungkin akan menimbangkan untuk mengalihkan sesetengah pengeluarannya ke Singapura, kata Cik Seow.

Di industri lain, Horme Hardware menyatakan beberapa penghantarannya dari China tertangguh.

Peruncit perkakas dan peralatan itu mendapatkan barang-barangan daripada beberapa wilayah di China, seperti Guangdong, Zhejiang serta Fujian dan menerima kira-kira 10 kontena barangan setiap bulan.

Untuk minggu ini, hanya beberapa pembekal syarikat itu yang sudah menyambung semula operasi.

Bagi peruncit fesyen tempatan Charles & Keith Group, sekitar 90 peratus daripada pengeluarannya berpangkalan di China dengan kemudahan pengilangan kebanyakannya terletak di Guangdong.

Syarikat itu menambah ia ”memiliki beberapa kilang di Malaysia juga" dan mempunyai stok yang mencukupi buat masa ini.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan