Images
  • cars
    (Gambar fail: Jeremy Long)

COVID-19: Bidaan COE digantung sehingga peniaga kenderaan dibenar dibuka semula

SINGAPURA: Bidaan bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) akan terus digantung sehingga para peniaga kenderaan dan bilik pameran dibenarkan dibuka semula, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataan medianya pada Jumaat (22 Mei).

Pemerintah mengumumkan pada Selasa bahawa Singapura akan melangkah keluar daripada "circuit breaker" seperti yang dirancangkan pada 1 Jun, dengan langkah-langkah sekatan akan dilonggarkan secara bertahap-tahap melalui tiga fasa.

Pemutus jangkitan itu, yang dikuatkuasakan pada 7 Apr untuk membendung penularan COVID-19, pada awalnya dijadual berakhir pada 4 Mei. Ia kemudian dilanjutkan sekali sehingga 1 Jun.

Di bawah fasa pertama, aktiviti ekonomi yang tidak menimbulkan risiko jangkitan yang tinggi, akan disambung semula pada 2 Jun.

Antaranya adalah perniagaan yang menawarkan khidmat kenderaan bermotor. Ini bermakna para pemilik boleh menghantar kenderaan masing-masing untuk diperiksa dan dibaiki di bengkel kenderaan mulai 2 Jun.

Para peniaga kenderaan dan bilik pameran bagaimanapun, belum lagi dibenarkan untuk menyambung semula operasi.

Oleh itu, bidaan COE hanya akan disambung semula setelah para peniaga dan bilik pameran dibenarkan dibuka semula, menurut LTA.

"LTA sedang memantau keadaan dengan teliti dan akan memberikan perkembangan terkini mengenai bidaan seterusnya," tambah kenyataan tersebut.

- CNA/NA/na

Top