Images
  • citi singapore
    Pejabat Citi di Singapura (Gambar: Citi)

Citi bakal tawar 1,500 pekerjaan di S'pura; perkukuh niaga pengurusan kekayaan

SINGAPURA: Citi Singapore merancang untuk menggajikan sehingga 1,500 lagi pekerja di Singapura, sedang ia berusaha untuk mengembangkan perniagaan pengurusan kekayaan di tengah-tengah penyusunan semula syarikat.

Pengambilan pekerja baru itu akan menyokong rancangannya untuk menggandakan aset di bawah pengurusannya dan menambah kekayaan pelanggan sebanyak dua setengah kali menjelang 2025, kata seorang jurucakap bank berkenaan kepada Mediacorp pada Isnin (19 Apr).

Citi juga akan menambah jumlah pekerjanya di Hong Kong, "hab kekayaan" lain yang menjadi tumpuannya di rantau ini.

Secara keseluruhan, ia merancang untuk mengambil kira-kira 2,300 pekerja baru di Hong Kong dan Singapura, termasuk 1,100 pengurus hubungan dan pegawai bank privet.

Ini menyusuli pengumuman kumpulan perbankan Amerika Syarikat itu minggu lalu bahawa pihaknya akan menarik diri dari 13 pasaran perbankan pengguna di Asia dan Eropah, merujuk kepada kurangnya skala yang dimiliki syarikat itu untuk bersaing. Sebaliknya ia mengalihkan fokusnya kepada pengurusan kekayaan.

Pasaran-pasaran tersebut adalah Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea, Malaysia, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Citi sebaliknya akan menumpukan perniagaan perbankan pengguna globalnya di empat pasaran - Singapura, Hong Kong, London dan Amiriah Arab Bersatu.

Ketua eksekutif Jane Fraser berkata minggu lalu bahawa dengan menyusun semula strateginya, bank itu akan "menggandakan" pengurusan kekayaan di mana peluang pertumbuhan adalah lebih cerah.

Sebagai sebahagian daripada rancangannya, Citi bercadang untuk melabur dalam "teknologi canggih" di Hong Kong dan Singapura, kata bank itu dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Citi menyatakan bahawa tawaran baru nilai digital, seperti pengalaman perbankan mudah alih baru dengan alat pengurusan kekayaan yang dipertingkatkan, telah membantu mendorong momentum dan pertumbuhan pelanggan di Asia Pasifik dalam beberapa tahun terakhir.

Tahun lalu, pihaknya menyaksikan kemasukan dana baru bersih di rantau ini, bernilai lebih AS$20 bilion (S$26.53 bilion), menandakan tahun rekod bagi francais kekayaan globalnya.

Singapura menempatkan hab rundingan kekayaan terbesar Citi di seluruh dunia, yang dibuka pada Disember tahun lalu. Pusat itu dijangka dapat menguruskan sekitar 150 pelanggan sehari, menurut laporan media.

Citi kini menggajikan sekitar 8,500 orang di Singapura.

- CNA/TQ/tq

Top