Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

CIMB hulur S$3.8 juta bantu anggota DPPMS tempuhi pandemik COVID-19

Bank CIMB Berhad di Singapura membantu SME Melayu/Islam mengharungi kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dengan menawarkan dana bernilai S$70 juta, dengan S$3.8 juta sudahpun diluluskan untuk para anggota DPPMS setakat sehingga Januari 2021.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bank CIMB Berhad di Singapura membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) Melayu/Islam mengharungi kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dengan menawarkan dana bernilai S$70 juta, dengan S$3.8 juta sudahpun diluluskan untuk para anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPMMS) setakat sehingga Januari 2021.

Bantuan kewangan sementara oleh CIMB itu penting bagi memastikan syarikat-syarikat SME dapat terus bertahan, lebih-lebih lagi di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang menjejas teruk perniagaan Melayu/Islam sepanjang tahun lalu.

Bantuan itu adalah sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai pada November 2019.

Sebagai MOU pertama DPPMS dengan sesebuah bank, kedua-dua pihak akan terus memastikan MOU tersebut berkesan dan saling memanfaatkan kedua-dua pihak.

Di bawah MOU tersebut, CIMB menawarkan kadar keutamaan bagi huraian pembiayaan perniagaan yang mematuhi Syariah, termasuk Akaun Semasa Islam dan FX-i untuk para anggota DPPMS.

Sebagai ganti, DPPMS pula menyediakan platform untuk CIMB mendampingi para anggotanya yang sudah melebihi 900 SME setakat sehingga hujung tahun lalu.

Antara pemilik SME yang meraih manfaat daripada kerjasama ini ialah pengasas syarikat OS BAGUS Foodstuff, Encik Abdul Kadir.

"Pembiayaan dana ini berguna bagi membolehkan perniagaan saya untuk terus bertahan meskipun di tengah-tengah pandemik COVID-19. Kerjasama ini bermakna akses yang lebih langsung kepada maklumat mengenai pilihan kewangan yang sedia ada serta bantuan yang lebih tepat pada masanya yang penting dalam menguruskan perniagaan saya," kata Encik Abdul Kadir.

Lebih banyak kerjasama antara DPPMS dan CIMB boleh dijangkakan tahun ini. Misalnya, ia akan menganjurkan acara DewiDigi buat julung-julung kalinya secara maya pada Mac 2021. DPPMS juga sedang membantu para anggotanya membuat persiapan untuk merubah model perniagaan dan berkembang dalam dunia pasca COVID-19.

"Kami berbesar hati kerana kerjasama ini telah memanfaatkan para anggota kami dan sangat menghargai sikap proaktif yang dipamerkan CIMB dalam membangunkan produk-produk yang disesuaikan kepada keperluan para anggota kami. Kami mengalu-alukan peluang untuk terus bekerjasama dengan CIMB," kata Presiden DPPMS Farid Khan.

Pandangan yang sama turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Bank CIMB Singapura dan Kumpulan Bank Komersil CIMB, Encik Victor Lee.

"Bank CIMB juga berbesar hati dapat bekerjasama dengan DPPMS dan menyediakan bantuan yang diperlukan kepada SME yang sangat terjejas oleh COVID-19. Kami berikrar akan membantu syarikat-syarikat perniagaan tempatan menghadapi krisis ini dan kami berdiri teguh dengan rakan-rakan yang turut mengutamakan nilai-nilai yang sama seperti kami.

"Sebagai pemimpin yang mengendalikan dan memudahkan koridor perdagangan Halal dalam ASEAN, CIMB komited untuk mengembangkan lagi sektor kewangan dan perbankan Islam di Singapura dan rantau ini," tambah Encik Lee.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan