Images
  • china milk
    (Gambar fail: Bobby Yip/Reuters)

China sasar bekal 60% pasaran formula bayi

BEIJING: China menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran susu rumusan bayi atau susu formula, agar 60 peratus pasaran dibekalkan oleh syarikat-syarikat negara itu. Demikian menurut satu dokumen yang dikeluarkan secara bersama oleh perancang pusat dan beberapa kementerian negara itu.

Dokumen yang bertarikh bulan Mei namun hanya didedahkan pada Isnin (3 Jun) itu menyatakan pengeluaran domestik susu formula bayi kian meningkat, para pembeli semakin yakin terhadap produk-produk tempatan dan jenama-jenama China lebih berdaya saing pada peringkat global.

Golongan ibu bapa di China sebelum ini memilih untuk membeli formula bayi yang dihasilkan dari luar negara selepas berlaku skandal susu tercemar pada 2008, yang mana beberapa bayi mati selepas bahan kimia perindustrian, melamina, dibubuhkan dalam tepung susu bayi untuk meningkatkan kandungan protein.

Dokumen yang dikeluarkan bagaimanapun tidak menyatakan bila China dijangka akan dapat mencapai sasarannya.

Dokumen itu turut menggesa agar perubahan dalam industri dijalankan bagi mempertingkat mutu susu formula bayi yang dikeluarkan.

Usaha untuk mengembangkan sektor-sektor domestik digesa supaya dijalankan sedang kumpulan-kumpulan makanan antarabangsa seperti Nestle, melancarkan susu rumusan bayi di bandar-bandar kecil sekitar China.

Susu formula bayi membentuk 43.7 peratus pasaran China pada 2018, selepas pengeluaran tumbuh 21 peratus pada tahun itu, menurut syarikat analitik data Nielsen dalam laporannya pada Mac.  

- Reuters/AQ/aq

Top