Images
  • donald trump
    Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghadiri acara pemimpin perniagaan Jepun di Tokyo pada 25 Mei 2019. (Gambar: Jonathan Ernst/REUTERS)

China mahu perbincangan dagangan dengan Amerika berdasarkan sikap 'saling menghormati'

BEIJING: China menyatakan pada Isinin (27 Mei) bahawa sebarang perbincangan berhubung perdagangan dengan Amerika Syarikat harus berdasarkan sikap "saling menghormati" dan kesamarataan. Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata ada peluang baik untuk mencapai satu perjanjian.

"Kami selalu percaya sebarang perbezaan antara kedua-dua negara seharusnya perlu dileraikan menerusi perundingan secara muhibah," kata jurucakap Kementerian Ehwal Luar China, Lu Kang, pada satu taklimat media.

Pada Isnin, Encik Trump berkata ada peluang "sangat baik" untuk memperolehi perjanjian perdagangan dengan China sedang dua ekonomi utama dunia itu memberi kenyataan bercanggah mengenai hubungan perdagangan mereka.

"Saya rasa pada satu masa kelak, China bersama AS akan mencapai perjanjian perdagangan hebat dan kami menantikannya," kata Encik Trump setelah berbincang dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di Tokyo.

Kenyataan beliau itu dibuat dua minggu selepas hubungan perdagangan China-AS tegang semula apabila Trump mengenakan tarif dua kali ganda ke atas barang-barangan China bernilai AS$200 bilion (S$275 bilion). Hal tersebut mencetuskan tindak balas daripada China dan Encik Trump mengancam untuk meningkatkan levi yang boleh menjejas hampir kesemua baki bekalan eksport China ke Amerika.

"Kami sudahpun melihat kenyaataan berbeza mengenai ekonomi China-Amerika dan perundingan perdagangan oleh (entiti berlainan) termasuk orang-orang berpangkat tinggi di AS," kata Encik Lu.

"Kadang-kala persetujuan dikatakan akan dikecapi tidak lama lagi dan kadang-kadang persetujuan dikatakan sukar untuk dicapai," ujar beliau lanjut.

Jurucakap itu juga berkata kedudukan China "kekal konsisten".

"Kami juga sudah sentiasa menegaskan perundingan antara China dengan Amerika Syarikat, termasuk rundingan ekonomi dan perdagangan, yang mesti berdasarkan sikap saling menghormati, kesamarataan dan manfaat bersama." 

- AFP/FZ/fz

Top