Images
  • china vaccine
    Changchun Changsheng Biotechnology didenda AS$1.3 bilion kerana memalsukan rekod dan menghasilkan vaksin yang tidak mematuhi piawai. (Gambar: AFP)

China hukum 80 pegawai berhubung skandal vaksin besar-besaran

BEIJING: China hari ini (3 Feb) menghukum lebih 80 pegawai yang terlibat dalam satu skandal pada tahun lalu berhubung vaksin rosak bagi kanak-kanak.

Senarai pesalah itu diketuai oleh para pegawai Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan yang kini tidak lagi berfungsi. Mereka termasuk bekas Timbalan Pengarahnya, Wu Zhen.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan bahawa Wu Zhen dikenakan pelbagai pertuduhan termasuk nepotisme dan menerima rasuah. Dia sudahpun disingkirkan dari parti komunis.

Badan antirasuah China menyatakan ia juga akan menangani berpuluh-puluh pegawai lain dari pelbagai pertubuhan pemerintah.

Pada Oktober lalu, syarikat pengeluar vaksin, Changchun Changsheng Biotechnology, didenda AS$1.3 bilion (S$1.76 bilion) kerana memalsukan rekod dan menghasilkan vaksin yang tidak mematuhi piawai.

Pengerusinya dan 14 pekerja lain ditahan pada Julai lalu apabila skandal itu pertama kali terbongkar.

Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan bahawa vaksin itu belum memasuki pasaran. Namun, ia menimbulkan bantahan dan kesangsian orang ramai terhadap ubat-ubatan buatan China. 

- AFP/NU/ai

Top