Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Cawangan F&B, kedai runcit di CBD terjejas kerana ramai kini bekerja dari rumah

Di kedai serbaneka Haja T & T Trading misalnya, pemiliknya, Haja Aladudeen berkata, berbanding hasil pendapatan minggu lalu, pendapatan hariannya menjunam 40 peratus. Ini gara-gara ramai pekerja pejabat kini bekerja dari rumah ekoran penularan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Cawangan F&B, kedai runcit di CBD terjejas kerana ramai kini bekerja dari rumah

(Gambar: Rachel Phua)

Diterbitkan : 13 Feb 2020 06:21PM Dikemas Kini : 14 Feb 2020 01:29AM

SINGAPURA: Setiap tahun, Valentine's Day (Hari Kekasih) adalah sambutan yang paling menguntungkan bagi Cik Wong Li Hua.

Namun penjual bunga itu jelas kelihatan kecewa semasa bercakap dengan Mediacorp. Hasil penjualan kedainya di The Arcade menjunam 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu setelah Singapura menaikkan paras penilaian Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) kepada warna Jingga Jumaat lalu, kata Cik Wong.

Sejak pengumuman itu, sebilangan syarikat di Singapura melancarkan pelan kesinambungan perniagaan mereka untuk membendung penularan virus korona COVID-19.

Banyak lagi, termasuk institusi kewangan dan gergasi teknologi mempunyai pejabat di Daerah Pusat Bandar (CBD) dan mereka mengatur syif dan menjadualkan pekerja mereka sedemikian rupa agar sesetengah kakitangan mereka dapat meneruskan kerja mereka di rumah.

"Siapa yang tidak bimbang," kata Cik Wong dalam bahasa Mandarin mengenai penularan virus itu yang menjejas perniagaannya. "Setiap tahun, kami bergantung kepada kesempatan seperti ini untuk meraih keuntungan."

Semasa waktu makan tengah hari pada Rabu (12 Feb), kawasan CBD masih kelihatan sibuk dengan pekerja pejabat. Namun kebanyakan pemilik dan kakitangan 13 restoran dan peruncit di kawasan itu yang ditemui Mediacorp berkata hasil penjualan mereka merosot antara 10 hingga 50 peratus sejak awal minggu ini.

Di kedai serbaneka Haja T & T Trading misalnya, pemiliknya, Haja Aladudeen berkata, berbanding hasil pendapatan minggu lalu, pendapatan hariannya menjunam 40 peratus.

Beliau tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukannya untuk menampung perniagaannya dan hanya setakat melayan rasa bimbang buat masa ini, katanya.

Di Tanjong Pagar, suasananya juga sama suram.

Lum Von-Nie, yang menguruskan gerai Basil & Mint di Pusat Penjaja Amoy Road mengatakan bahawa tempahan makanan dapat membantu mengurangkan kesan kemerosotan pada hasil pendapatannya.

Sebagai contoh, pendapatan beliau pada Selasa adalah 20 peratus lebih rendah berbanding minggu lalu, namun pesanan bagi penghantaran makanan dapat mengurangkan kerugian sebanyak 10 peratus.

"Mujur pihak berkuasa pantas bertindak untuk menangani berita palsu. Semoga langkah tersebut akan meyakinkan orang ramai bahawa tiada sebab untuk mereka mengelakkan peluang untuk menjamu selera di luar, kata Cik Lum. "Tetapi ya, saya bersedia mengharungi keadaan yang bertambah teruk. "

Bagi sesetengah pihak pula, perniagaan mereka berjalan seperti biasa.

Seorang pembantu kedai runcit Korea, yang meminta agar namanya tidak didedahkan kerana beliau tidak diizinkan untuk bercakap dengan pihak media mengatakan bahawa penjualan agak laris, terutamanya pada hujung minggu apabila ramai orang datang untuk membeli beras dan mi segera. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan