Images
  • fatpapas sheikh haikel
    Para pengasas FatPapas, Bernie Tay (kiri) dan Sheikh Haikel di cawangan utama mereka di Bali Lane. (Gambar: Hidayah Salamat)

Cawangan burger FatPapas di Bali Lane ditutup 12 Sep

SINGAPURA: FatPapas, cabang halal The Burger Bar Fatboy, sedang menghitung hari untuk menutup cawangan terakhirnya di Bali Lane.

Pada Selasa (7 Sep), cawangan burger yang dibuka oleh penyanyi rap tanah air Sheikh Haikel dan pengasas Fatboy, Bernie Tay, mengumumkan di media sosial bahawa ia akan menutup cawangan utamanya di 17 Bali Lane pada 12 September.

Cawangan FatPapas di Century Square serta Waterwaypoint sudahpun ditutup pada awal pandemik COVID-19 melanda setelah ia menjadi "terlalu bahaya" untuk mengekalkannya, kata Eksekutif Pemasaran dan Perhubungan Annabelle Francis.

"Masanya amat mencabar bagi F&B dengan COVID-19 dan kami sudah cuba sedaya upaya untuk memastikan perniagaan kami berjalan terus," kata Cik Annabelle kepada Mediacorp.

Namun, "kerja-kerja binaan yang berat" oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) di luar unitnya di Bali Lane menyukarkan perniagaan itu untuk bertahan.

Kerja pembinaan itu dijangka berjalan selama "lapan tahun lagi", kata Cik Annabelle, isteri kepada Haikel.

"Lantaran itu, kami rasa masanya amat tepat untuk berkumpul semula dan mencipta semula sesuatu yang menarik untuk semua orang tidak lama lagi?"

Satu lagi restoran kumpulan itu di jalan yang sama, Wakuwaku Yakiniku, tidak terjejas oleh kerja pembinaan tersebut dan akan terus beroperasi.

Cik Annabelle berkongsi bahawa restoran barbeku Jepun yang terkenal itu akan menyediakan "hidangan-hidangan baru yang menarik" dalam bulan-bulan mendatang.

Beliau menambah mereka juga merancang "sebuah konsep halal baru" dan berharap dapat mendedahkannya tidak lama lagi. Buat masa ini mereka di peringkat meninjau-ninjau lokasi bagi konsep tersebut.

"Kami berharap semua orang akan terus mengikuti dan menyokong kami," ungkapnya.

Dalam satu video baru-baru ini di media sosial, Haikel dilihat sedang menjamu selera beberapa hidangan kegemarannya dari menu FatPapas, termasuk daging steak goreng desa atau 'country fried steak', sambil mengajak pelanggan datang menikmati makanan itu buat kali terakhir serta menghidupkan semula kenangan di cawangan tersebut. 

- CNA/FZ/fz

Top