Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Cathay Pacific gantung pengambilan pekerja baru, beri tumpuan kurangkan kos

Cathay Pacific Airways menggantung pengambilan pekerja baru, menurut satu memo kepada pihak dalaman seperti yang dilihat oleh Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
Cathay Pacific gantung pengambilan pekerja baru, beri tumpuan kurangkan kos

(Gambar: Laurent Fievet/AFP)

Diterbitkan : 12 Sep 2019 10:37PM Dikemas Kini : 12 Sep 2019 10:39PM

HONG KONG: Cathay Pacific Airways menggantung pengambilan pekerja baru, menurut satu memo kepada pihak dalaman seperti yang dilihat oleh Reuters.

Ini sedang syarikat penerbangan itu berdepan permintaan kian meningkat oleh para penumpang supaya mengelakkan daripada membuat penerbangan ke Hong Kong di tengah-tengah bantahan antipemerintah besar-besaran di wilayah khas China itu.

Dalam satu memo kepada kakitangan pada Rabu (12 Sep), Pegawai Ketua Eksekutif (CEO) baru, Encik Augustus Tang, berkata beliau sudahpun meminta para eksekutif supaya memeriksa perbelanjaan dan memberi tumpuan kepada mengurangkan kos.

Beliau menambah syarikat penerbangan itu juga tidak akan menggantikan pekerja yang sudah berhenti bagi jawatan-jawatan bukan penerbangan melainkan ia dipersetujui jawatankuasa kawalan perbelanjaan.

Cathay menyatakan ia bakal mengurangkan kapasiti bagi musim sejuk akan datang setelah melaporkan penurunan 11.3 peratus dalam bilangan penumpang pada Ogos. Syarikat tersebut menjangkakan keadaan tidak kurang mencabar bagi September sementara para penganalisis pula meramalkan ia mungkin boleh mengalami kerugian pada separuh kedua.

Saham Cathay jatuh 2.4 peratus pada awal Khamis, mengheret tanda aras Indeks Hang Seng yang turun 0.4 peratus.

Permintaan lemah dan pemotongan dalam kapasiti akan menimbulkan lebih tekanan kepada Cathay dan pengurusan barunya yang dilantik setelah CEO Rupert Hogg mengundurkan diri bulan lalu, dalam satu langkah mengejutkan, dan perletakan jawatan Pengerusi John Slosar minggu lalu.

Cathay, yang sedang berusaha untuk menamatkan rancangan pemulihan kewangan tiga tahun, adalah syarikat terbesar pertama yang menjadi mangsa bantahan Hong Kong setelah China meminta ia menggantungkan kakitangan yang terlibat atau menyokong demonstrasi yang menjerat bekas tanah jajahan British itu ke dalam krisis politik.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan