Images
  • capitaland
    Bangunan pejabat Capitaland di Singapura. (Gambar: Edgar Su/Reuters) 

CapitaLand beli syarikat kumpulan hartanah Ascendas-Singbridge dari Temasek

SINGAPURA: CapitaLand akan membeli Ascendas-Singbridge, anak syarikat milik firma pelaburan negara Temasek, dalam satu perjanjian bernilai S$11 bilion dolar. Menurut pemaju hartanah itu, ia akan mewujudkan syarikat kumpulan hartanah terpelbagai di Asia.

CapitaLand akan membeli syarikat-syarikat pemegangan dari perniagaan Ascendas-Singbridge Group, yang menguruskan Ascendas Real Estate Investment Trust, Ascendas India Trust dan Ascendas Hospitality Trust untuk wang tunai dan saham.

Perjanjian tersebut akan mewujudkan sebuah kumpulan dengan keseluruhan aset gabungan bernilai lebih S$116 bilion, menurut CapitaLand dan Ascendas-Singbridge dalam satu kenyataan bersama pada Isnin (14 Jan).

Perniagaan utama Ascendas-Singbridge adalah sebagai penyedia ruang perniagaan termasuk logistik serta kawasan pejabat dan pusat-pusat data.

"Kekuatan kami yang saling melengkapi, mengukuhkan kedudukan kami untuk mencapai pertumbuhan di tengah-tengah sekitaran hartanah yang berubah di Singapura dan peringkat antarabangsa," kata Encik Ng Kee Choe, pengerusi lembaga CapitaLand dalam satu kenyataan.

Syarikat-syarikat yang disasarkan mempunyai nilai keseluruhan S$10.9 bilion.

Di bawah perjanjian itu, Temasek akan menerima sekitar S$6 bilion, separuh dalam bentuk tunai dan separuh dalam bentuk saham CapitaLand baru, yang akan ditetapkan pada harga S$3.50 setiap unit saham.

Selepas mengikat perjanjian itu, bahagian saham Temasek dalam CapitaLand akan meningkat kepada sekitar 51 peratus daripada sekitar 40.8 peratus. 

- Reuters/EM/ai

Top