Images
  • British Airways
    Pesawat British Airways. (Gambar: REUTERS/Neil Hall)

British Airways lancarkan tambang 'asas' S'pura-London; tiket sehala dari S$428

SINGAPURA: British Airways (BA) melancarkan tambang "asas" baru bagi penerbangan jarak jauh termasuk dari London ke Singapura, dengan tiket penerbangan sehala antara kedua-dua destinasi itu berharga semurah 230 paun (S$428).

Syarikat penerbangan Britain itu semalam (11 Apr) menyatakan para penumpang yang menempah tiket-tiket tersebut boleh membawa dua beg tangan (hand luggage) ke dalam pesawat, namun bagasi check-in dikenakan bayaran tambahan.

Makanan dan minuman juga termasuk dalam harga tambang.

Menurut Pegawai Komersil British Airways, Adam Daniels: "Kita perlu memastikan bahawa tambang yang kami tawarkan mencerminkan keperluan berbeza supaya para penumpang boleh memilih pilihan yang terbaik untuk mereka."

Langkah itu dibuat sedang persaingan semakin sengit bagi laluan dari Singapura ke London. Tahun lalu, syarikat penerbangan tambang murah Norwegian melancarkan penerbangan antara kedua-dua destinasi.

Qantas pula baru-baru ini menyambung semula penerbangan dari Sydney ke London menjadikan Singapura sebagai lokasi persinggahan.

British Airways juga menawarkan tambang asas tersebut bagi destinasi lain termasuk Boston, Delhi, Denver, Dubai dan Hong Kong. 

- CNA/NK/nk

Top