Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Binance gugurkan produk S'pura dari wadah utamanya susuli amaran MAS

Binance, antara pertukaran mata wang kripto terbesar di dunia, menyatakan ia akan menghadkan perkhidmatannya di Singapura. Ini selepas bank negara Singapura menyatakan ia harus berhenti menawarkan khidmat pembayaran. 

Anggaran Waktu Membaca:
Binance gugurkan produk S'pura dari wadah utamanya susuli amaran MAS

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 06 Sep 2021 04:41PM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 04:42PM

HONG KONG: Binance, antara pertukaran mata wang kripto terbesar di dunia, menyatakan ia akan menghadkan perkhidmatannya di Singapura. Ini selepas bank negara Singapura menyatakan ia harus berhenti menawarkan khidmat pembayaran.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menjadi pengawal selia terkini untuk bertindak terhadap Binance. Ia memberi amaran minggu lalu bahawa wadah global syarikat itu, Binance.com, mungkin melanggar undang-undang dengan menyediakan khidmat pembayaran kepada penduduk Singapura tanpa lesen yang sesuai.

Binance.com akan berhenti menawarkan pilihan pembayaran dolar Singapura dan pasangan perdagangan dolar Singapura mulai Jumaat (10 Sep). Aplikasi itu juga akan digugurkan daripada kedai-kedai iOs dan Google Play, menurutnya dalam satu catatan di lamannya.

Sekatan itu hanya dikenakan terhadap wadah sejagat Binance dan bukan wadah Singapura, yang mana Ketua Eksekutif syarikat Changpeng Zhao menggesa para pengguna untuk menukar kepada platform Singapura.

Pertukaran kripto seperti Binance, yang sebelum ini boleh berurus niaga di hampir kesemua pasaran di dunia melalui satu wadah, kini menerima tentangan daripada para pengawal selia tempatan.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, para pengawal selia di Britain, Itali dan Hong Kong menyatakan unit Binance tidak dibenarkan untuk menjalankan beberapa kegiatan di bursa masing-masing. Sementara itu, pengawal selia kewangan Malaysia pula menegur syarikat pertukaran itu kerana beroperasi secara haram di negara tersebut.

Awal tahun ini, Bloomberg turut melaporkan bahawa Binance sedang disiasat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri.

Encik Zhao berkata bulan lalu bahawa beliau mahu menambah baik hubungan dengan para pengawal selia.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan