Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Bantuan tangani kos sewa bukan penyelesaian muktamad bagi peniaga yang hadapi masalah, kata Shanmugam

Rangka kerja bantuan baru bagi menangani kos sewa yang diumumkan pemerintah bukanlah penyelesaian muktamad dalam membantu perniagaan atasi krisis COVID-19,kata Menteri Undang-Undang K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:
Bantuan tangani kos sewa bukan penyelesaian muktamad bagi peniaga yang hadapi masalah, kata Shanmugam

Deretan kedia yang ditutup di Chinatown sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 di Singapura. (Gambar: Edgar Su/REUTERS)

Diterbitkan : 06 Jun 2020 05:49PM Dikemas Kini : 06 Jun 2020 05:53PM

SINGAPURA: Rangka kerja bantuan baru bagi menangani kos sewa yang diumumkan pemerintah bukanlah penyelesaian muktamad dalam membantu perniagaan atasi krisis COVID-19,kata Menteri Undang-Undang K Shanmugam.
Bahkan, tambah beliau sebilangan perniagaan mungkin masih terpaksa gulung tikar walaupun dengan bantuan tambahan berkenaan.

Pindaan baru pada Akta COVID-19 (Langkah-langkah Sementara), yang diluluskan menjadi undang-undang pada Jumaat (5 Jun), termasuk rangka kerja bantuan tangani kos sewa yang akan mewajibkan pemilik hartanah untuk memberi pengecualian sewa asas hingga dua bulan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang layak, dan mengalami kerugian besar akibat COVID-19.

Bercakap di Parlimen, Encik Shanmugam berkata masih belum pasti berapa lama wabak itu akan berlarutan dan tidak mungkin perniagaan akan bangkit dalam masa terdekat ini. Ini kerana peraturan jarak selamat belum ditarik balik sepenuhnya walaupun Singapura keluar dari tempoh pemutus jangkitan yang mengehadkan pergerakan orang ramai dan kegiatan perniagaan yang tidak penting.

"Jadi hanya perniagaan yang sangat kuat, mampan, yang akan bertahan dalam tempoh ini walaupun dengan bantuan yang kita berikan," kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Cik Jessica Tan, Anggota Parlimen (AP) bagi GRC East Coast. Cik Tan mengetengahkan kebimbangan sama ada langkah-langkah bantuan bagi menangani kos sewa akan hanya melengahkan penutupan perniagaan yang tidak mampan dengan membebankan pemilik hartanah dan pembayar cukai.

Menjawab, Encik Shanmugam berkata adalah wajar bagi Pemerintah untuk meghulurkan bantuan selama dua bulan ketika ia melaksanakan 'circuit breaker'.

Meskipun pihak berkuasa sedar bahawa langkah-langkah bantuan baru tidak boleh menjadi sandaran penuh bagi perniagaan, beliau berkata bantuan kepada SME tetap satu keutamaan - memandangkan banyak daripadanya terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

Encik Shanmugam berkata ini juga sebab mengapa pihak berkuasa memutuskan untuk campur tangan lebih lanjut dan memberikan sokongan tambahan melalui Rang Undang-Undang terbaru, yang diluluskan dengan pantas di Parlimen di bawah Sijil Segera.

KEBIMBANGAN PEMILIK HARTANAH KECIL

Encik Christopher De Souza, AP GRC Holland-Bukit Timah, bertanya adakah terdapat kelonggaran dalam syarat kelayakan di bawah rangka kerja tersebut memandangkan pemilik hartanah privet lebih kecil juga mungkin mengalami masalah kewangan dalam tempoh ini.

Encik Shanmugam menjawab bahawa pemilik hartanah sedemikian boleh merayu kepada panel penilai yang akan menimbangkan nilai tahunan mereka dan sama ada pendapatan dari sewa membentuk sebahagian besar daripada jumlah pendapatan keseluruhannya ketika memutuskan sama ada beliau perlu memberikan keringanan penuh kos sewa.

Encik Murali Pillai, AP Bukit Batok, pula bertanya sama ada Pemerintah mengambil langkah untuk memastikan mereka yang layak mendapat bantuan tersebut sedar bahawa mereka boleh memanfaatkan langkah-langkah sokongan yang baru itu.

Encik Shanmugam berkata beliau yakin para peniaga yang memerlukan bantuan itu amat sedar tentang undang-undang tersebut kerana mereka sememangnya menantikan bagi bantuan sedemikian diluluskan.

Pun begitu, Encik Shanmugam menambah bahawa pihak berkuasa sedang melakukan yang terbaik untuk menyampaikan mesej tersebut.

Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) akan juga memaklumkan semua pemilik hartanah yang mempunyai penyewa yang layak dan mereka pula perlu memberitahu penyewa mereka, kata beliau. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan