Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Bank S'pura diramal catat pendapatan positif

Musim pendapatan bagi bank-bank Singapura dijangka bermula minggu ini dengan DBS melaporkan hasil pendapatannya esok (2 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Bank S'pura diramal catat pendapatan positif

(Gambar: AFP Photo/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 01 Aug 2018 06:00PM Dikemas Kini : 01 Aug 2018 06:50PM

SINGAPURA: Musim pendapatan bagi bank-bank Singapura dijangka bermula minggu ini dengan DBS melaporkan hasil pendapatannya esok (2 Ogos).

Menurut para penganalisis, mereka menjangkakan hasil yang positif daripada para pemiutang bagi suku kedua tahun ini.

Namun, ramalan mereka dijangka lebih berhati-hati bagi suku-suku seterusnya.

Pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh dan kadar faedah yang kian meningkat serta sektor minyak dan gas yang bertambah baik dijangka merangsang pendapatan tiga bank utama Singapura.

"Kami melihat konsensus yang agak positif bagi seluruh pasaran. Permintaan pinjaman kelihatan baik. Dari segi margin faedah bersih, kadar faedah yang lebih tinggi dapat dilihat pada pertengahan tahun ini," kata Pan Jingyi, pakar strategi pasaran IG Markets.

Bagi DBS, UOB dan OCBC yang membentuk sebahagian besar STI, para penganalisis berkata prestasi bank-bank tersebut mungkin berupaya menaikkan lagi paras 3,000 mata sekarang.

Ketiga-tiga bank itu menyaksikan prestasi suku pertama yang kukuh, dengan DBS dan UOB melaporkan pendapatan yang mencecah paras rekod.

Namun, ia mungkin tidak sebaik itu dalam masa beberapa bulan akan datang.

Ketegangan perdagangan yang semakin meruncing antara Amerika Syarikat dengan China mungkin akan menjejas aliran perdagangan global dan rantaian bekalan dan menyebabkan kemerosotan pada pinjaman perniagaan.

"Ia mungkin akan menjejas keputusan syarikat-syarikat perniagaan di rantau China dan secara tidak langsung menjejas Singapura juga. Satu lagi perkara ialah langkah-langkah meredakan pasaran hartanah baru-baru ini yang akan membawa impak negatif terhadap pinjaman hartanah, pinjaman bank dan juga mengurangkan kegiatan dalam sektor binaan," kata Margaret Yang, penganalisis CMC Markets.

Antara ketiga-tiga bank itu, para penganalisis menjangkakan UOB mungkin yang paling teruk terjejas oleh langkah-langkah bagi mengawal pasaran hartanah, memandangkan pinjaman rumah yang ditawarkannya adalah sekitar 28 peratus.

Ini disusuli OCBC dengan sekitar 27 peratus dan DBS 22 peratus.

Malah, kebanyakan saham bank sudah mula mencecah paras yang rendah sejak harga saham masing-masing mencatat paras tertinggi pada lewat April.

"Dan kami melihat ketiga-tiga bank tempatan ini semakin kukuh sejak beberapa bulan yang lalu. Jadi mereka sedang cuba mengimbangi kesan negatif langkah-langkah meredakan pasaran hartanah dan mungkin rentak pertumbuhan lebih perlahan pada suku-suku seterusnya. Tetapi saya rasa kemerosotan ini akan diimbangi oleh pulangan dividen yang lebih tinggi," kata Yang.

DBS akan melaporkan pendapatan suku keduanya esok (2 Ogos), diikuti UOB lusa dan OCBC pada Isnin depan. 

Sumber : CNA/KN/kn
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan