Images
  • bank of england
    Bangunan Bank England (Gambar: AFP)

Bank England jangka pertumbuhan ekonomi UK lebih perlahan ekoran situasi Brexit

LONDON: Bank England (BoE) pada Khamis (7 Feb) merendahkan unjurannya bagi pertumbuhan UK tahun ini kepada 1.2 peratus berbanding 1.7 peratus sebelum ini. Bank tersebut menukil kelembapan iktisad sejagat dan situasi Brexit sebagai punca penurunan jangkaan itu.

"Pertumbuhan ekonomi UK perlahan pada lewat 2018 dan kelihatan semakin lemah pada awal 2019," menurut bank pusat itu selepas mengekalkan kadar faedah utamanya pada 0.75 peratus.

"Kelembapan ini membayangkan kegiatan kian merosot di luar negara dan kesan hebat akibat ketidaktentuan Brexit," menurut bank itu lagi.

Jika GDP Britain sampai ke paras 1.2 peratus, ia merupakan pengeluaran paling lemah negara itu dalam masa sedekad.

BoE pada November meramalkan pertumpuhan 2019 pada 1.7 peratus.

"Ketidaktentuan Brexit semakin keruh sejak rundingan Jawatankuasa pada November," menurut BoE pada Khamis.

"Jangkaan ekonomi akan terus bergantung pada cara perpisahan dengan EU (Kesatuan Eropah)," tambah bank itu lagi.

Para pemimpin EU bertemu dengan Perdana Menteri Britain Theresa May di Brussels pada Khamis sedang kedua-dua pihak mencari huraian perjanjian Brexit.

Rancangan bagi Britain meninggalkan EU pada 29 Mac ini di bawah perjanjian perpisahan yang ditandatangani tahun lalu menjadi tanda tanya apabila para penggubal dasar Britain menolak perjanjian tersebut.

Pada Khamis BoE juga menurunkan unjuran pertumbuhan UK bagi tahun 2020 - kepada 1.5 peratus, berbanding 1.7 peratus.

Penurunan ini mengakibatkan nilai mata wang paun jatuh kepada bawah AS$1.29, manakala mata wang euro naik untuk ditutup pada paras 88 peni.

"Nilai paun jatuh ke paras terendah (berbanding dolar Amerika) dalam tempoh tiga minggu... namun perlu diketengahkan di sini bahawa reaksi pasaran adalah agak perlahan," menurut penganalisis XTB, David Cheetham.

- AFP/TQ/tq

Top