Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Awas! Hati-hati terhadap laman tawarkan tiket penerbangan percuma SIA

Singapore Airlines (SIA) pada Ahad (13 Jan) memberi amaran kepada para pelanggannya supaya jangan menjadi mangsa penipuan oleh sebuah laman web yang menawarkan tiket penerbangan percuma dari SIA. 

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Hati-hati terhadap laman tawarkan tiket penerbangan percuma SIA

(Gambar: Facebook/Xiaoling Yang)

Diterbitkan : 13 Jan 2019 09:21PM Dikemas Kini : 13 Jan 2019 09:27PM

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) pada Ahad (13 Jan) memberi amaran kepada para pelanggannya supaya jangan menjadi mangsa penipuan oleh sebuah laman web yang menawarkan tiket penerbangan percuma dari SIA.

Dalam catatan Facebooknya, SIA turut mendedahkan, laman yang mendakwa bahawa ia adalah wakil SIA akan meminta para pelanggan untuk menyerahkan butiran peribadi.

"Kami sudahpun membuat aduan terhadap laman tersebut yang mengarahkan agar ia dipadamkan dan kami menasihati para pelanggan supaya berhati-hati semasa mendedahkan maklumat peribadi kepada sumber-sumber yang tidak dapat disahkan," menurut catatan Facebook SIA.

"Laman-laman sebegini, emel dan panggilan telefon harus disahkan jika terdapat keraguan. Sila hantar maklumat mengenainya kepadad saluran media sosial kami atau melalui pautan ini http://singaporeair.com/en_UK/feedback-enquiry/.”

SIA turut menasihati para pelanggan supaya berhati-hati terhadap catatan media sosial dan laman-laman yang cuba memancing maklumat dan kelihatan serupa dengan laman rasmi syarikat penerbangan itu.

Ini bukan kali pertama SIA memberi amaran kepada para pelanggan terhadap penipuan-penipuan yang menggunakan nama syarikat tersebut untuk memancing maklumat peribadi.

Pada 2017, satu kiriman pesanan mendakwa bahawa SIA menawarkan tiket Kelas Pertama secara percuma melalui WhatsApp sempena ulang tahunnya yang ke-45. Ini berlaku beberapa hari selepas SIA melancarkan Kelas Pertamanya yang baru.

Pada tahun yang sama, SIA turut memberi amaran kepada para pelanggannya yang memaklumkan mereka bahawa para penipu menyamar diri sebagai kakitangan syarikat itu untuk memancing butiran peribadi.

Dalam satu lagi penipuan yang berlaku pada 2017, emel-emel mendakwa bahawa SIA menawarkan tiket-tiket penerbangan percuma sempena ulang tahunnya yang ke-70, yang mendorong SIA untuk mengeluarkan nasihat kepada para pelanggannya. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan