Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Australia dedah undang-undang baru bagi desak gergasi teknologi bayar kandungan berita

Australia mendedahkan draf undang-undang baru pada Jumaat (31 Jul) untuk memaksa Google dan Facebook membayar syarikat media bagi kandungan berita dalam inisiatif "julung-julung kalinya di dunia" yang dijangka akan mencetuskan konfrontasi dengan gergasi-gergasi digital.

Anggaran Waktu Membaca:
Australia dedah undang-undang baru bagi desak gergasi teknologi bayar kandungan berita

Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 11:02PM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 11:09PM

SYDNEY: Australia mendedahkan draf undang-undang baru pada Jumaat (31 Jul) untuk memaksa Google dan Facebook membayar syarikat media bagi kandungan berita dalam inisiatif "julung-julung kalinya di dunia" yang dijangka akan mencetuskan konfrontasi dengan gergasi-gergasi digital.

Bendahari Josh Frydenberg mengumumkan "kod tatalaku wajib" untuk mentadbir hubungan antara industri berita yang semakin tertekan dengan firma-firma teknologi setelah rundingan selama 18 bulan gagal menyatukan kedua-dua belah pihak.

Selain bayaran bagi kandungan, kod tersebut merangkumi isu-isu seperti akses kepada data pengguna, ketelusan algoritma dan ranking kandungan dalam suapan berita dan hasil carian.

"Landskap masa depan media Australia menjadi taruhan dengan perubahan ini," kata Encik Frydenberg, yang menyifatkan undang-undang baru itu sebagai "rangka kerja kawal selia yang pertama di dunia".

Beliau berkata undang-undang yang menguatkuasakan kod tatalaku itu akan dibentangkan di Parlimen pada Ogos dan ia membawa "hukuman berat" yang boleh merugikan syarikat teknologi sehingga beratus-ratus juta dolar.

Walaupun kod itu akhirnya akan digunakan untuk mana-mana wadah digital yang menggunakan kandungan berita Australia, Encik Frydenberg berkata ia pada awalnya akan menumpukan perhatian kepada Facebook dan Google, dua syarikat terkaya dan paling berpengaruh di dunia.

Google dengan pantas menegaskan bahawa ia "sangat kecewa" dengan usulan itu.

"Campur tangan pemerintah akan menghambat ekonomi digital Australia dan mempengaruhi khidmat yang kami sampaikan kepada warga Australia," kata Mel Silva, pengarah urusan Google untuk Australia dan New Zealand.

Facebook pula mengeluarkan respons walaupun cuma sebaris namun cukup tegas yang membayangkan bahawa pihaknya mungkin akan menimbangkan semula kegiatannya di Australia jika usulan itu dilaksanakan.

"Kami sedang menyemak saranan pemerintah untuk memahami kesannya terhadap industri, khidmat dan pelaburan kami dalam ekosistem berita di Australia," kata Will Easton, pengurus tempatan Facebook.

Inisiatif Australia itu dipantau dengan teliti di seluruh dunia sedang syarikat-syarikat media di seluruh dunia bergelut dengan cabaran ekonomi yang semakin condong kepada digital, di mana pendapatan iklan banyak dikuasai oleh Facebook, Google dan syarikat teknologi besar yang lain.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan