Images
  • AstraZeneca (1)
    Bebuli vaksin AstraZeneca. (Gambar: REUTERS/Hannibal Hanschke)

AstraZeneca dilarang guna loji vaksin AS

AMERIKA SYARIKAT: Amerika Syarikat menugaskan Johnson & Johnson (J&J) untuk mengendalikan loji yang merosakkan 15 juta dos vaksin COVID-19 dan melarang firma pengeluar ubat-ubatan AstraZeneca daripada menggunakan kemudahan itu.

Demikian menurut seorang pegawai kanan kesihatan pada Sabtu (3 Apr).

Menurut J&J, ia "memikul tanggungjawab sepenuhnya" ke atas kemudahan Emergent BioSolutions di Baltimore dan menekankan bahawa ia akan membekalkan 100 juta dos kepada pemerintah menjelang hujung bulan Mei.

Jabatan Khidmat Kesihatan dan Manusia itu menguruskan peralihan tersebut, menurut pegawai kesihatan dalam satu kiriman emel dan meminta identitinya tidak didedahkan disebabkan oleh sensitiviti perkara tersebut.

AstraZeneca, yang vaksinnya tidak diluluskan di Amerika Syarikat, menyatakan ia akan bekerjasama dengan pentadbiran Presiden Joe Biden untuk mencari lokasi alternatif bagi menghasilkan vaksinnya.

Para pegawai Rumah Putih tidak memberikan sebarang respons kepada permintaan untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu.

Perkembangan tersebut, yang pertama kali dilaporkan oleh New York Times, menjejaskan lagi usaha AstraZeneca di Amerika Syarikat.

Pemerintah mengkritik syarikat itu kerana menggunakan data yang sudah lapuk dalam hasil ujian vaksinnya.

Ia kemudian menyemak semula kajiannya.

Beberapa minggu lalu, para pekerja di loji Emergent BioSolutions menggabungkan bahan-bahan bagi vaksin J&J dan AstraZeneca, lapor Times awal minggu ini.

Menurut J&J, pada waktu itu, vaksin-vaksin yang rosak belum lagi sampai ke tahap akhir penghasilannya.

Langkah pemerintah untuk menjadikan loji itu sebagai tempat untuk menghasilkan vaksin dos tunggal J&J bertujuan untuk mengelak kekeliruan pada masa akan datang, menurut laporan Times, yang memetik dua pegawai kanan kesihatan persekutuan.

Doktor kanan bagi penyakit berjangkit di Amerika memberitahu Reuters pada Khamis (1 Apr) bahawa negara itu mungkin tidak memerlukan vaksin AstraZeneca meskipun ia mendapat kelulusan.

Amerika mempunyai perjanjian untuk membekalkan sekitar empat juta dos vaksin AstraZeneca, yang dihasilkan di kemudahan negara itu, kepada Mexico dan Kanada.

- Reuters/NK/nk

Top