Images
  • iPhone X
    Telefon bijak iPhone X dipamerkan di kedai Apple di Manhattan, New York (Gambar: Reuters)

Apple hilang lebih banyak pasaran telefon bijak

SAN FRANCISCO: Apple semakin kehilangan bahagian dalam pasaran telefon bijak yang semakin mengecil pada suku tahun lalu, dengan para pengesan penjualan menyatakan syarikat gergasi teknologi itu kini tidak lagi di tiga tangga teratas, setelah diketepikan oleh pesaing China.

Apple merosot ke tempat keempat dalam penjualan global telefon bijak, dengan penghantaran (shipment) 35.3 juta iPhone pada suku tahun kedua, berbanding 36.2 juta unit yang dihantar Oppo, menurut laporan IHS Markit minggu ini.

Syarikat gergasi Korea Selatan, Samsung, kekal di tangga teratas dengan 23 peratus bahagian pasaran dan penghantaran 75.1 juta telefon bijak. Huawei dari China pula menghantar 58.7 juta telefon bijak dan menguasai 18 peratus pasaran, menurut perkiraan IHS Markit.

Pengesan penjualan telefon bijak lain seperti Counterpoint Research dan International Data Corporation merumuskan meskipun jumlah penghantaran iPhone merosot pada suku kedua, secara keseluruhannya Apple kekal di tangga ketiga bagi penghantaran global.

Sementara itu penghantaran telefon bijak Huawei terus meningkat meskipun saiz pasaran mengecil dan di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China.

PESAING CHINA SEMAKIN HEBAT

Huawei, yang dianggap sebagai pendahulu pasaran peralatan 5G dan pengeluar telefon bijak nombor dua sedunia - disenarai hitam Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kerana disyaki membuka laluan kepada risikan China. Syarikat tersebut bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

"Kesan pengharaman itu tidak menyebabkan kemerosotan penghantaran telefon bijak pada suku tahun ini, namun ia dijangka berubah pada masa depan," menurut pengarah bersekutu kajian Counterpoint, Tarun Pathak dalam laporan pasaran fima itu.

Bahagian pasaran global keseluruhan syarikat-syarikat China yang merangkumi Huawei, Oppo, Vivo, Xiaomi dan Realme membentuk 42 pasaran bagi suku kedua tahun ini, menurut Counterpoint.

Apple berusaha untuk tidak bergantung pada penjualan iPhone dengan mengalihkan tumpuan kepada tawaran khidmat, kandungan digital dan peranti berkaitan.

Buat pertama kalinya, Apple pada suku tahun terkini meraih kurang daripada separuh pendapatannya daripada penjualan iPhone, yang sebelum ini merupakan pemacu utama wang tunai dan keuntungan syarikat tersebut.

- AFP/TQ/tq

Top