Images
  • apple
    (Gambar: Regis Duvignau/REUTERS)

Apple dalam perbincangan beli unit cip telefon bijak Intel

SAN FRANCISCO: Apple sedang dalam perbincangan untuk membeli unit cip modem telefon bijak Intel, satu langkah yang akan membantu pembuat iPhone mengawal satu komponen utama. Demikian lapor Wall Street Journal (WSJ) pada Isnin (22 Jul).

WSJ menukil beberapa individu yang mengikuti perkembangan tersebut sebagai berkata perjanjian itu akan meliputi paten Intel dan kakitangan bernilai satu bilion dolar namun ia mungkin tidak akan berlaku sekali gus.

Apple kini sudahpun melabur dalam cip mudah alihnya sendiri untuk meningkatkan prestasi dan ciri-ciri dalam alatnya selain mengurangkan kebergantungan kepada Qualcomm.

Awal tahun ini, Intel mengumumkan ia tidak akan meneruskan rancangan untuk bersaing dengan cip modem bagi telefon bijak yang diselaraskan kepada rangkaian generasi masa depan 5G.

Intel mendedahkan hal tersebut setelah Apple dan syarikat berpangkalan di selatan California, Qualcomm, menyatakan bahawa mereka bersetuju untuk "menggugurkan semua tindakan undang-undang" terhadap satu sama lain di merata dunia dalam perbalahan berterusan melibatkan pembayaran royalti.

Selama dua tahun, syarikat-syarikat itu berbalah dalam perebutan yang mungkin memerlukan Qualcomm untuk membayar berbilion dolar.

Apple menuduh Qualcomm, yang memiliki paten paling banyak untuk cip, mengambil kesempatan dari kedudukannya menguasai pasaran, untuk mengenakan bayaran sangat tinggi bagi cip atau akses kepada patennya.

Qualcomm menafikan dakwaan tersebut dan menuduh Apple menyalahgunakan kedudukannya serta mengambil tindakan undang-undang untuk merundingkan pengurangan harga.

Beberapa jam menyusuli pengumuman perjanjian itu, Intel menyatakan ia akan menarik diri daripada perniagaan modem telefon bijak 5G tanpa menjelaskan sama ada keputusannya itu adalah sebab atau kesan daripada perjanjian yang dimeterai antara pesaingnya dengan Apple. 

- AFP/FZ/fz

Top