Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

APEC 2020 mahu laksana pembayaran tanpa tunai

Sidang puncak pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020, yang akan dianjurkan di Malaysia, beraspirasi untuk memperkenalkan penggunaan pembayaran tanpa tunai (atau e-dompet).

Anggaran Waktu Membaca:
APEC 2020 mahu laksana pembayaran tanpa tunai

Gambar fail GrabPay. (Gambar: Grab)

Diterbitkan : 21 Mar 2019 04:36PM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 04:52PM

KUALA LUMPUR: Sidang puncak pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020, yang akan dianjurkan di Malaysia, beraspirasi untuk memperkenalkan penggunaan pembayaran tanpa tunai (atau e-dompet).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Ignatius Darell Leiking, berkata sebagai sekretariat nasional sidang puncak itu, kementeriannya sudah mengenal pasti rakan niaga tempatan untuk bekerjasama dalam penggunaan e-dompet.

"Kami mahu memastikan bahawa semua langkah-langkah keselamatan dilaksanakan dan setakat ini, penyedia e-dompet telah memberi jaminan mengenai perkara berkenaan," katanya kepada agensi berita Bernama semasa satu wawancara eksklusif mengenai persediaan APEC 2020.

Encik Darrell berkata teknologi e-dompet adalah antara perkara yang akan diperkenalkan semasa sidang puncak itu, yang turut diadakan di beberapa bandar raya di negara tersebut.

"Untuk sidang puncak ini, kawasan-kawasan umum yang sedang diberi penumpuan oleh Malaysia adalah keterangkuman, kemampanan, ekonomi digital dan integrasi ekonomi serantau," katanya.

Sidang puncak itu, menurutnya, juga akan membenarkan wakil-wakil termasuk para pelancong menerokai keindahan Malaysia dan pelbagai destinasi, budaya serta tradisinya.

"Kira-kira 16,000 delegasi dari 21 ekonomi akan berada di Malaysia selain daripada sejumlah besar pelancong. Oleh yang demikian, pihak industri hospitaliti dan pelancongan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana dijangka akan mendapat manfaat secara langsung," katanya.

Sehubungan dengan APEC 2020, Encik Darell meyakinkan para pelabur bahawa asas-asas ekonomi Malaysia adalah masih kukuh, walaupun menghadapi beberapa cabaran.

"Pelabur terus bertanya, 'Mengapa mereka perlu memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka' dan jawapan saya adalah 'Mengapa tidak?' Memang benar kita kehilangan beberapa perkara tetapi kita juga ada mendapat keuntungan.

"Apa yang menjadikan Malaysia unik dalam dunia perniagaan adalah asas-asas ekonominya, infrastruktur serta buruh yang berpengalaman yang menjadi kita layak sebagai sebuah hab perniagaan," katanya.

Menurut beliau, data sedia ada membuktikan bahawa terdapat beberapa syarikat yang sudah meninggalkan Malaysia akan kembali, dan sama juga dengan usahawan Malaysia di luar negara.

Encik Darell menambah: "Ini adalah satu tanda positif bahawa Malaysia merupakan tempat yang kondusif untuk perniagaan berkembang." 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan