Images
  • malaysia tourist tourism
    (Gambar: The Star Online)

Anugerah Pelancongan, Gourmet Terbaik Dunia bantu M’sia tonjolkan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa

KUALA LUMPUR: Anugerah Pelancongan Terbaik Dunia 2019 dan Anugerah Gourmet Terbaik Dunia Ketiga 2019, yang bakal diadakan di Kuala Lumpur bulan depan, dapat membantu menempatkan Malaysia sebagai pusat masakan bertaraf dunia selain meraih pengiktirafan yang lebih besar untuk sektor hospitaliti serta pelancongannya.

Bagaimanapun, potensi negara dapat dimaksimumkan lagi melalui usaha bersepadu oleh kerajaan, sektor swasta dan pengguna untuk meningkatkan penjenamaan sejagat negara dalam bidang tersebut, yang dilihat strategik sebagai sumber pendapatan utama dalam sektor perkhidmatan.

"Rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan untuk menyesuaikan diri dengan cepat dan menikmati masakan antarabangsa dan pelbagai serta menawarkan produk pelancongan yang menarik. Kedua-dua anugerah tersebut akan menjadi platform yang sesuai untuk memaparkan negara sebagai pusat masakan, sektor makanan dan minuman serta hospitaliti antarabangsa," kata Presiden World Gourmet Peggy Chong.

"Rakyat Malaysia suka makan dan mencuba, mahu mencuba pelbagai masakan antarabangsa seperti terbukti dengan minat mereka terhadap makanan Jepun dan Korea misalnya," kata Cik Chong semasa diwawancara dalam "Bernama Today" iaitu rancangan bual bicara Hal Ehwal Semasa.

Turut ditemu bual dalam program itu ialah Ada Poon, Pengarah Urusan AMLeisure dan Presiden World Tourism, yang berpendapat produk pelancongan kreatif pemasaran akan menjadi inisiatif strategik untuk mencapai ketibaan 30 juta pelancong dan sasaran pendapatan RM100 bilion (S$33 bilion) yang ditetapkan oleh kerajaan sempena Tahun Melawat Malaysia pada 2020.

Anugerah Pelancongan Terbaik Dunia 2019 dan Anugerah Gourmet Terbaik Dunia Ketiga 2019 akan diadakan pada 16 Oktober nanti.

Ia dijangka menarik lebih 1,000 peserta dan akan menjadi wadah sesuai untuk menggalak peserta antarabangsa serta mewujudkan kesedaran tinggi mengenai apa yang ditawarkan oleh Malaysia melalui masakan dan produk pelancongan.

Cik Poon berkata anugerah tersebut akan mendorong pengusaha hotel, agensi pelancongan serta penggiat dalam industri makanan dan minuman untuk menyertainya.
Ini memandangkan ia akan meningkatkan profil syarikat selain mendorong jenama mereka ke pentas global, juga boleh dilakukan melalui sokongan yang besar daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sementara itu, Cik Chong berkata anugerah gourmet akan menyaksikan penyertaan yang meningkat oleh para peserta dari jauh seperti Australia, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Singapura.

Beliau berkata kedua-dua acara itu tepat pada masanya berikutan ia akan menjadi peluang kepada peserta yang berhimpun di Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang berkaitan selain memberi inspirasi kepada satu sama lain untuk mencapai tahap mutu lebih tinggi. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top