Images
  • sang pisang
    (Gambar: Facebook/Sang Pisang)

Anak Presiden Jokowi buka kedai pisang di KL

KUALA LUMPUR: Anak lelaki bongsu Presiden Indonesia Joko Widodo, Kaesang Pangarep, membuka secara rasmi kedai snek pisang miliknya di pusat beli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Sabtu (26 Okt).

Cawangan Sang Pisang yang pertama di luar negara itu terletak di sebuah pusat makan di aras pertama Pavilion, di tingkat sama dengan gerai donat J-Co yang juga berasal dari Indonesia.

Perasmian gerai yang sudah beroperasi selama seminggu sebelumnya itu dihadiri beberapa pegawai Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, warga Indonesia di bandar tersebut serta para pengunjung pusat beli-belah yang popular itu.

Perasmian tersebut ditandakan dengan doa beramai-ramai dan acara memotong reben oleh Encik Kaesang, yang diiringi CEO dan pengasas bersama Sang Pisang, Ansari Kadir. Turut hadir adalah anggota pengurusan cawangan tersebut dan rakan-rakan Encik Kaesang di Singapura.


Pembukaan rasmi cawangan Sang Pisang di Pavilion, Bukit Bintang (Gambar: ANTARA)

Encik Kaesang berkata, pihaknya memilih untuk membuka cawangan di Malaysia kerana ia merupakan suatu pasaran yang bagus.

"Sang Pisang kan sudah punya banyak cawangan di Indonesia, kami sudah punya lebih 80 cawangan di 21 kota. Kami pikir (fikir) di Malaysia bukankah mempunyai market yang sangat besar, kenapa tidak buka di sini?" katanya.

"Sang Pisang adalah jenama pertama saya yang berjaya ke luar negara. Setelah ini kami akan membuka cawangan di Vietnam, Filipina dan Thailand. Kami mantapkan dulu di Malaysia sebelum membuka cawangan lain," katanya.

Encik Kaesang menambah, cawangan terbaru itu dibuka menerusi kerjasama dengan rakan kongsi setempat dan bukan secara francais.

Beliau menambah, bahan-bahan untuk 'nugget' pisang itu dibawa masuk dari Indonesia dan rakan kongsi setempat.

"Selain nugget, kami sudah mengeluarkan banyak produk yang semuanya asaskan pisang," katanya.

Encik Kaesang mendedahkan pihaknya merancang untuk membuka cawangan kedua di malaysia di pusat beli-belah Mid Valley Mall. 

Top