Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Alat khas percepat proses pembuatan lemang kepada 2 jam

Proses memasak lemang secara tradisional biasanya mengambil masa sehingga tujuh jam namun, dengan teknologi terbaru, makanan tradisional Melayu itu kini boleh dinikmati dalam tempoh dua jam sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:
Alat khas percepat proses pembuatan lemang kepada 2 jam

Encik Che Rimi memasukkan beras pulut yang telah diadun dengan pelbagai perasa ke dalam mesin khas pembakar lemang. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 May 2019 11:01AM Dikemas Kini : 13 May 2019 11:04AM

BANDAR PERMAISURI: Proses memasak lemang secara tradisional biasanya mengambil masa sehingga tujuh jam namun, dengan teknologi terbaru, makanan tradisional Melayu itu kini boleh dinikmati dalam tempoh dua jam sahaja.

Menerusi peralatan khas yang menggunakan besi tahan karat, Che Rimi Hussin, 49 tahun, dan isterinya, Norakhadah Yatimi, 46 tahun, mampu menghasilkan lebih 3,000 batang lemang sehari.

Alat seperti bekas besar yang boleh memuatkan 13 batang besi berbentuk buluh itu amat mudah digunakan dan lemang akan dimasak menggunakan dapur gas dengan kawalan suhu kepanasan tertentu.

“Jika kita fikir, pembuatan lemang secara tradisional memang rumit terutama apabila tersalah adunan yang boleh menyebabkan lemang menjadi keras, tidak masak dan juga terlampau lembik.

“Namun dengan teknologi baru ini, ia bukan sahaja mempunyai sukatan bahan malah mempercepatkan proses pembakaran lemang yang hanya mengambil masa dua hingga tiga jam sahaja,” kata Encik Che Rimi.

MASIH KEKALKAN CARA PENYEDIAAN TRADISIONAL

Pasangan yang mempunyai kedai sendiri di Kampung Nyior Tujuh dekat Bandar Permaisuri, Terenggang, sudah mengusahakan perniagaan lemang sejak 2014. Lebih istimewa lagi, mereka mampu menghasilkan 11 jenis perisa lemang termasuk jagung, kacang, durian, nangka dan mangga.

Encik Che Rimi berkata proses menyediakan lemang dalam alat baru itu sama seperti mana cara tradisional malah turut diletakkan daun pisang bagi memastikan rasa serta bau asli lemang tidak hilang.

Beliau membeli alat tersebut menerusi seorang individu dengan kos RM6,800 (S$2,230) dan sehingga kini, ia masih lagi dalam keadaan baik meskipun sudah berkali-kali digunakan, dicuci dan dibersihkan.

LEMANG TIDAK PENUHI CITARASA, PERNAH DIMARAHI PELANGGAN

Menceritakan permulaan beliau terlibat dalam mengusahakan perniagaan 'Lemang Anekarasa’ itu, Encik Che Rimi berkata pada awalnya, resepi mereka tidak mendapat sambutan positif daripada kalangan pelanggan dan penggemar lemang.

Bahkan, beliau pernah dimarahi pelanggan apabila lemang yang dibeli tidak menepati citarasa namun ia tidak langsung mematahkan semangat Encik Che Rimi untuk terus membaiki kelemahan pada produk jualannya.

“Setiap kali mencuba resipi lemang baru, saya akan memberikan lemang itu kepada orang ramai secara percuma dan ia berterusan selama setahun untuk mereka cuba dan beri pendapat untuk saya baiki kelemahan dalam menghasilkan produk saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Cik Norakhadah berkata kesemua lemang dipasarkan dengan harga serendah RM4 (S$1.30) hingga RM70 (S$22.90) mengikut jenis lemang dan saiz yang dipilih. Harga yang diletakkan itu bergantung kepada kos semasa pembelian bahan yang digunakan.

“Contohnya untuk menghasilkan lemang durian, kami akan menggunakan durian Musang King kerana isi buah itu yang berkualiti tinggi dan harganya mencecah RM30 (S$9.80) ke atas untuk satu kilogram. Disebabkan itu, harga lemang durian lebih mahal berbanding lemang yang lain dan ia hanya dibuat mengikut musim sahaja,” ujar beliau.

Menurut Cik Norakhadah lagi, kini, perniagaan yang diusahakan bersama suaminya itu mula mempunyai pelanggan tetap tanpa mengira lapisan umur. Malah, ada juga yang datang dari pelbagai negeri. Selain itu, pasangan berkenaan juga menerima tempahan tiap kali tiba musim perayaan mahupun musim kenduri.

Pastinya, pasangan itu tidak menang tangan untuk menyediakan tempahan pelanggan yang boleh mencecah 3,000 batang lemang sehari.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan