Images
  • Business

AirAsia tambah penerbangan ke Sarawak dari Kota Kinabalu

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd meraikan laluan barunya Kota Kinabalu-Sibu pada Isnin (29 Jan) menyusuli langkah syarikat penerbangan tambang murah itu memulakan perkhidmatan komersil baru-baru ini yang bertujuan untuk menambah rangkaian perhubungan ke Sarawak.

“Kami dengan penuh rasa gembira memulakan 2019 dengan perkhidmatan komersil baru kami dari Kota Kinabalu ke Sibu dan Bintulu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam satu kenyataan semalam (29 Jan).

Tahun lepas, syarikat penerbangan tambang rendah itu menerbangkan 1.2 juta penumpang dari dan ke Sibu dan lebih 669,000 penumpang masuk dan keluar Bintulu.

“Kami komited untuk menambah rangkaian perhubungan antara Sarawak dan Sabah dan dengan tambahan dua penerbangan terus setiap hari dari Kota Kinabalu, kami menjangkakan jumlah pelawat ke Sibu akan mencatatkan peningkatan ketara, sekali gus menambah rangkaian perhubungan antara bandar raya peringkat kedua di Sabah/Sarawak,” katanya.

AirAsia kini beroperasi ke empat destinasi dari Sibu -- Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu - dengan 90 penerbangan sehala seminggu, dan ke tiga destinasi dari Bintulu -- Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu - dengan 56 penerbangan sehala seminggu.

Untuk meraikan perkhidmatan baru itu, AirAsia menawarkan tambang rendah daripada serendah RM59 (S$19) dari Sibu ke Kota Kinabalu yang boleh ditempah menerusi airasia.com dan AirAsia mobile app dari sekarang sehingga 3 Feb, 2019 bagi perjalanan sehingga 31 Julai 2019.

- BERNAMA/NA/na

Top