Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

AirAsia syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia

AirAsia memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia bagi 11 tahun berturut-turut di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia

(Gambar: AirAsia)

Diterbitkan : 19 Jun 2019 12:21PM Dikemas Kini : 20 Jun 2019 03:40PM

PARIS: AirAsia memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia bagi 11 tahun berturut-turut di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2019.

Selain itu ia juga dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Asia dan Kabin Premium Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia bagi tempat duduk Premium Flatbed, yang terdapat dalam pesawat jarak jauh AirAsia X.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd Kamarudin Meranun berkata, anugerah berkenaan merupakan satu penghormatan terhadap komitmen AirAsia untuk menawarkan perjalanan pada harga yang boleh dimampui dan perkhidmatan yang mengutamakan pelanggan.

“(Pada) hakikatnya anugerah ini adalah berdasarkan maklum balas langsung dan ia adalah pengiktirafan yang menggembirakan untuk seluruh warga AirAsia yang telah banyak berusaha dan memberikan komitmen kepada kecemerlangan perkhidmatan untuk pelanggan kami,” menurut Encik Kamarudin dalam satu kenyataan pada Selasa (18 Jun).

Kenyataan tersebut dikeluarkan semasa majlis penyampaian anugerah itu yang berlangsung di Pameran Udara Antarabangsa Paris kali ke-53 di Le Bourget.

Skytrax turut menamakan Qatar Airways sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik tahun Ini.

Sementara itu, Pengerusi AirAsia X Rafidah Aziz berkata anugerah tersebut membuktikan tempoh sembilan tahun menjadi yang terbaik di dunia dalam kategori berkenaan dan ia didedikasikan kepada seluruh warga AirAsia yang berpegang teguh kepada budaya, misi dan visi korporat syarikat.

“Kami sekali lagi diiktiraf atas perkhidmatan menyediakan Kabin Premium Syarikat Tambang Murah Terbaik Dunia dalam penerbangan jarak jauh kami.

“Tahun ini, kami akan pergi lebih jauh dengan menawarkan keselesaan dalam penerbangan yang terbaik menerusi pesawat Airbus A330neo baru, iaitu pesawat yang akan mengubah pengalaman perjalanan jarak jauh.

“Digabungkan dengan perkhidmatan dalam penerbangan yang cukup terkemuka sebagai syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsia X akan terus berusaha menawarkan perkhidmatan yang berbaloi kepada pelanggan ke 30 destinasi di 10 pasaran di seluruh rangkaian jarak jauh AirAsia Group,” kata Cik Rafidah dalam kenyataan yang sama.

Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax, yang diperkenalkan pada 1999 dan bersifat bebas serta tidak berpihak, merupakan penanda aras kecemerlangan global bagi syarikat penerbangan.

Setakat ini, AirAsia mengendalikan rangkaian lebih 140 destinasi dari 25 hab di 22 pasaran.

Bagi meraikan kemenangannya, AirAsia akan melanjutkan penjualan besar-besaran AirAsia sehingga 23 Jun 2019 dengan tambang bermula serendah RM12 (S$3.93) untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi domestik dan daripada RM89 (S$29.15) bagi penerbangan antarabangsa, tertakluk kepada syarat-syarat.

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan