Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

AirAsia syarikat penerbangan pertama beroperasi di Lapangan Terbang Avalon Melbourne

AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama yang mendarat di lapangan terbang antarabangsa kedua Melbourne - Avalon – pagi tadi (5 Dis), melancarkan penerbangan antarabangsa pertama ke dan dari lapangan terbang kedua di barat daya Melbourne.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia syarikat penerbangan pertama beroperasi di Lapangan Terbang Avalon Melbourne

Gambar pesawat AirAsia X di Lapangan Terbang Avalon di Victoria, Australia. (Gambar: Lapangan Terbang Avalon/Facebook)

Diterbitkan : 05 Dec 2018 11:38AM Dikemas Kini : 05 Dec 2018 11:44AM

AVALON: AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama yang mendarat di lapangan terbang antarabangsa kedua Melbourne - Avalon – pagi tadi (5 Dis), melancarkan penerbangan antarabangsa pertama ke dan dari lapangan terbang kedua di barat daya Melbourne.

Dikendalikan oleh sekutu jarak jauh AirAsia, AirAsia X, Penerbangan D7218 mendarat pada pukul 8.20 pagi (waktu tempatan) dengan kadar muatan 80 peratus.

Ketua Pegawai Eskekutif (CEO) AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail, berkata pendaratan sulung AirAsia di Avalon memeterai perjanjian 10 tahun antara syarikat penerbangan berpangkalan di Asia Tenggara itu dengan Lapangan Terbang Avalon Melbourne, dengan pelaburan kira-kira RM150 juta (S$49.4 juta) daripada pengendali lapangan terbang serta kerajaan Australia dan Victoria. Ia bagi membangunkan kemudahan baru yang terletak di Bandar Raya Geelong.

“Kemudahan ini hari ini menjadi antara hab antarabangsa paling penting untuk AirAsia terbang ke luar dari Asia Tenggara,” katanya kepada media Malaysia semasa sidang media yang diadakan hari ini (5 Dis).

Encik Benyamin berkata, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk menawarkan penerbangan kepada 500,000 penumpang setahun dengan laluan ini.

"AirAsia akan mengendalikan sejumlah 28 penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Melbourne Avalon, selain menyasarkan meningkatkan muatan kami dari 80 peratus (di lapangan terbang Melbourne Tullamarine) kepada 85 peratus melalui lapangan terbang baharu ini tahun depan,” tambahnya.

Sebelum ini, AirAsia melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melbourne Tullamarine.

Katanya, perjanjian jangka panjang itu menyediakan kos operasi yang lebih rendah kepada AirAsia dan akan meningkatkan jumlah penumpang dan perolehan bukan aeronanutikal daripada lapangan terbang Avalon.

"Tetamu AirAsia yang terbang ke Melbourne Avalon akan mendapat manfaat daripada rangkaian ‘Kelebihan Avalon’ termasuk kadar parkir yang murah, akses yang selesa ke Pusat Bandar Raya Melbourne melalui SkyBus dan infrastruktur lapangan terbang baharu,” tambahnya.

Encik Benyamin berkata, syarikat penerbangan itu juga merancang untuk terbang ke Avalon dari Bangkok, Thailand dan Bali, Indonesia pada masa akan datang.

Bagi meraikannya, syarikat penerbangan itu melancarkan jualan alu-aluan ke Melbourne Avalon dengan kadar tambang bermula RM499 (S$164) sehala antara Melbourne Avalon/Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur/Melbourne Avalon untuk penerbangan sehingga Mei 2019 (tempoh tempahan dari 5 Dis hingga 9 Dis). 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan