Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

AirAsia sasar buka 100 cawangan restoran 'makanan dalam pesawat' jelang suku pertama 2022

AirAsia Group menyasarkan untuk membuka kira-kira 100 cawangan francais Santan di Malaysia dan luar negara pada suku pertama tahun 2022 sebagai tambahan kepada 15 cawangan yang dimiliki sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia sasar buka 100 cawangan restoran 'makanan dalam pesawat' jelang suku pertama 2022

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Sep 2020 08:01AM Dikemas Kini : 30 Sep 2020 08:03AM

KUALA LUMPUR: AirAsia Group menyasarkan untuk membuka kira-kira 100 cawangan francais Santan di Malaysia dan luar negara pada suku pertama tahun 2022 sebagai tambahan kepada 15 cawangan yang dimiliki sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Tony Fernandes berkata pengembangan pesat jenama Santan itu dijangka akan meningkatkan pendapatan kumpulan antara 10 hingga 15 peratus dalam tempoh tiga tahun ke depan daripada dua peratus sebagai restoran dalam pesawat ketika ini.

Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata Santan, jenama restoran pertama di dunia yang menawarkan makanan dalam pesawat di restoran fizikal, dijangka berkembang pesat di Malaysia dengan yuran francais minimum sebanyak RM50,000 (S$16,452) berdasarkan saiz kedai.

"Pada masa ini kedai francais berukuran kira-kira 1,000 kaki persegi (92.9 meter persegi) dan ke bawah, dan lokasi yang akan kami pilih adalah kawasan yang mempunyai jumlah pengunjung yang ramai dan juga meliputi jarak penghantaran yang baik," katanya kepada wartawan selepas majlis penyampaian sijil pendaftaran francais pada Selasa (29 Sep).

Sijil itu disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, yang disaksikan oleh timbalannya, Rosol Wahid dan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Kamarudin Meranun dan Tony Fernandes.

Cik Goh berkata jenama francais Santan mendapat sambutan luar biasa dengan kira-kira 1,000 permohonan diterima setakat ini dan lima lagi kedai dijangka dibuka pada akhir tahun yang akan menyediakan peluang pekerjaan untuk pelbagai jawatan daripada pembantu dapur sehingga kakitangan di bahagian pengurusan.

“Tahun ini, kami menumpukan perhatian kepada pengembangan di Lembah Klang untuk menciptakan kesedaran jenama dan sebagai batu loncatan bagi Santan untuk meluaskan rangkaiannya ke seluruh Malaysia.

"Kami yakin bahawa jumlah restoran akan mencapai angka ke-100 menjelang suku pertama 2022, dengan cawangan pertama di Sabah dan Sarawak disasarkan untuk dibuka pada suku pertama 2021," katanya.

Cik Goh berkata kumpulan itu juga sedang membuat persediaan untuk  berkembang di luar negara, dengan sasaran untuk membuka kedai di China dan United Kingdom tahun depan.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan