Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

AirAsia mula penerbangan Ipoh-S'pura pada Disember

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd akan memulakan penerbangan ulang alik dari Ipoh ke Singapura mulai 2 Disember ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Perak, Tan Kar Hing.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia mula penerbangan Ipoh-S'pura pada Disember

Pesawat AirAsia. (Gambar fail: Charles Platiau/Reuters)

Diterbitkan : 22 Oct 2018 02:34PM Dikemas Kini : 22 Oct 2018 02:37PM

IPOH: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd, akan memulakan penerbangan ulang alik dari Ipoh ke Singapura mulai 2 Disember ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Perak, Tan Kar Hing.

Menurut Encik Tan, perkara itu disahkan oleh pihak AirAsia pada pagi Isnin (22 Okt) dengan kekerapan penerbangan empat kali seminggu.

"Mengikut jadual penerbangan, setiap minggu akan ada empat kali penerbangan iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad. Kami gembira sebab perjalanan terus antarabangsa dari Ipoh dapat ditambah.

"Dengan penerbangan ini, kita harapkan lebih banyak penerbangan antarabangsa lain akan ada di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS)," kata beliau kepada para wartawan selepas menghadiri sidang media Minggu Fesyen Antarabangsa Ipoh (IIFW) 2018 di Lost World Of Tambun hari ini (22 Okt).

IIFW'18 yang memasuki tahun kedua akan berlangsung selama tiga hari mulai 9 November ini dengan tema 'Even Bigger', dan bakal menampilkan rekaan 10 pereka fesyen terkemuka tanah air serta antarabangsa.

Encik Tan berkata, kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menambah penerbangan antarabangsa, termasuk dari Ipoh ke Thailand dan China, sama ada secara terus atau sewa khas.

Buat masa ini, Perak menerima ketibaan penerbangan domestik dan antarabangsa dari beberapa syarikat iaitu Malindo, AirAsia, Firefly serta syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot.

Encik Tan berkata penerbangan dari Singapura ke Ipoh dijangka tiba di LTSAS pada pukul 9.45 pagi, manakala dari Ipoh ke Singapura akan berlepas pada pukul 12.50 tengah hari.

"Dengan penyertaan AirAsia dalam laluan emas ini, ia boleh memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna dari segi harga yang lebih baik dan slot masa berlainan," katanya.

Mengenai cadangan membesarkan LTSAS pula, beliau berkata setakat ini lapangan terbang itu tidak mempunyai masalah untuk membolehkan kapal terbang jenis Boeing 737 dan Airbus jenis A320 berlepas atau mendarat.

"Setakat ini, syarikat penerbangan tambang murah menggunakan kapal terbang jenis 737 dan A320, jadi landasan sepanjang dua kilometer sudah mencukupi," katanya. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan