Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

AirAsia manfaatkan pandemik COVID-19 bagi transformasi perniagaan

AirAsia Group Bhd semakin pulih daripada kesan pandemik COVID-19, selepas mengambil peluang baru termasuk mempercepatkan transformasi digitalnya.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia manfaatkan pandemik COVID-19 bagi transformasi perniagaan

Pesawat Air Asia X. (Gambar: AFP PHOTO/HO/AirAsia X)

Diterbitkan : 06 Mar 2021 05:43PM Dikemas Kini : 06 Mar 2021 05:45PM

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd semakin pulih daripada kesan pandemik COVID-19, selepas mengambil peluang baru termasuk mempercepatkan transformasi digitalnya.

Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tony Fernandes. 

Kumpulan itu melihat situasi sekarang sebagai peluang sekali sepanjang hayat bagi memperbaharui perniagaannya selain mula memberi fokus kepada ASEAN, termasuk mengkaji semula struktur kos dan menamatkan urus niaga yang tidak seimbang, katanya. 

"Dengan platform digital seperti aplikasi, teknologi kewangan dan perniagaan makanan berjalan lancar, kami kini berada di penghujung cabaran serta teruja dengan pengenalan pelbagai perniagaan yang baru diterokai," katanya pada Forum Ekonomi Belia (YEF) 2021 semasa sesi maya yang bertajuk "Jalan ke arah Pemulihan : Menukar Krisis kepada Peluang".

Beliau ketika mengulas mengenai usaha kepelbagaian menjelaskan, kumpulan itu juga merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi udara dalam tempoh satu setengah tahun, selain perkhidmatan e-panggilan pada April nanti.

"Teksi udara ini akan mempunyai juruterbang dan empat kerusi. Buat masa ini, kami mempunyai pasukan yang mengusahakan perkhidmatan baru ini," jelas beliau.

Selain itu, Teleport, bahagian logistik Airasia Digital, akan melancarkan Sandbox Penghantaran Dron Bandar melalui kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia. Projek perintis itu melibatkan penghantaran barang daripada platform e-dagang kumpulan menggunakan dron automatik akan dijalankan melalui pendekatan berfasa bertempoh enam bulan di Cyberjaya.

Teleport akan menjadikan usaha itu lebih cepat, murah dan lebih mudah diakses oleh semua orang untuk memindahkan barangan, terutama oleh perusahaan kecil dan sederhana, di seluruh Malaysia serta dunia.

Beliau juga optimis terhadap pembukaan sempadan antarabangsa secara beransur-ansur yang berkemungkinan berlaku pada Julai atau Ogos. 

"Kami akan mula melihat beberapa pembukaan sempadan menjelang Julai dan Ogos, ini diharapkan akan mengembalikan dunia penerbangan kembali normal.

"Sepanjang perjalanan, saya telah melalui pelbagai wabak, peperangan dan bencana. Manusia memang suka melancong, terutama dengan adanya penerbangan tambang rendah," katanya lagi. 

Kerugian bersih syarikat penerbangan tambang rendah itu meningkat kepada RM851.78 juta (S$280.67 juta) pada suku ketiga berakhir 30 September 2020 berbanding RM51.44 juta (S$16.95 juta yang dicatatkan pada setahun sebelumnya, tetapi ia lebih rendah daripada kerugian RM992.89 juta (S$327.16 juta) yang direkodkan semasa suku kedua.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan