Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

AirAsia Indonesia mungkin ganding bahu dengan Garuda

 AirAsia Indonesia semalam (21 Dis) mengesahkan bahawa ia sedang meninjau kemungkinan bekerjasama dengan Kumpulan Garuda Indonesia untuk memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat penerbangan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia Indonesia mungkin ganding bahu dengan Garuda

Gambar fail pesawat AirAsia (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 22 Dec 2018 07:19AM Dikemas Kini : 22 Dec 2018 07:47AM

KUALA LUMPUR: AirAsia Indonesia semalam (21 Dis) mengesahkan bahawa ia sedang meninjau kemungkinan bekerjasama dengan Kumpulan Garuda Indonesia untuk memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan, berkata perbincangan masih di peringkat awal dan tiada keputusan dibuat mengenai cadangan itu.

“Bagaimanapun, kami terus terbuka kepada mana-mana kerjasama yang akan memberi manfaat kepada industri,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan di Jakarta pada Jumaat (21 Dis).

Encik Dendy berkata demikian semasa mengulas mengenai artikel berita yang memetik Presiden Pengarah Garuda Indonesia Ari Askhara, yang menyatakan syarikat penerbangan nasional itu sudah menerima tawaran daripada AirAsia untuk mewujudkan perjanjian kerjasama operasi (KSO).

AirAsia Indonesia merupakan sebahagian daripada AirAsia Group - penyumbang terbesar kepada penumpang antarabangsa di Indonesia - manakala syarikat penerbangan Indonesia, Garuda, adalah peneraju dalam trafik domestik.

Pada bulan lalu, Garuda melalui anak syarikatnya, Citilink Indonesia, mengambil kawalan operasi pesaingnya Sriwijaya Air dan NAM Air, dan sekaligus memperolehi saham majoriti daripada pasaran penerbangan domestik yang berkembang pesat.

Menurut Pusat untuk Penerbangan (CAPA), Indonesia adalah pasaran penerbangan yang terbesar di ASEAN dan pasaran penerbangan domestik kelima terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, China, India dan Jepun, dengan mencatatkan hampir 97 juta penumpang pada tahun 2017.

Perjalanan udara domestik menguasai pasaran Indonesia, menyumbang hampir 75 peratus daripada jumlah trafik penumpang. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan