Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

AirAsia catat penurunan 85% jumlah penumpang pada suku ketiga 2020

Jumlah penumpang AirAsia Group Bhd (AirAsia) merosot sebanyak 85 peratus kepada 1.91 juta pada suku ketiga 2020 daripada 13 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia catat penurunan 85% jumlah penumpang pada suku ketiga 2020
Diterbitkan : 27 Oct 2020 08:29AM Dikemas Kini : 27 Oct 2020 08:31AM

KUALA LUMPUR: Jumlah penumpang AirAsia Group Bhd (AirAsia) merosot sebanyak 85 peratus kepada 1.91 juta pada suku ketiga 2020 daripada 13 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Di sebalik pandemik COVID-19, faktor muatan AirAsia berkurangan sebanyak 18 peratusan mata dari tahun ke tahun kepada 66 peratus, kata syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataannya hari ini.

Bagi tempoh bulanan, metrik operasi utamanya meningkat pada bulan September berbanding Julai dengan mencatatkan jumlah penumpang yang lebih tinggi dalam operasinya di Malaysia, India dan Thailand, masing-masing meningkat sebanyak 36 peratus, 79 peratus dan 65 peratus.

Faktor muatan untuk kumpulan itu meningkat 7.0 peratusan mata pada bulan September berbanding bulan Julai.

"Peningkatan ini menunjukan trend kenaikan yang kukuh untuk permintaan bagi perjalanan udara di pasaran utama untuk kumpulan tersebut," menurutnya.

AirAsia Malaysia beroperasi pada tahap 52 peratus daripada kapasiti domestiknya pada bulan September berbanding 40 peratus pada Julai kerana permintaan perjalanan berada pada trajektori yang menunjukkan peningkatan sejak suku kedua berikutan kelonggaran terhadap perjalanan antara negeri.

AirAsia Malaysia mencapai faktor muatan sebanyak 68 peratus dengan mencatat hampir 1.8 juta penumpang pada suku tersebut.

Walaupun kapasiti sudah dikurangkan pada bulan Oktober menyusuli Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan, AirAsia sedang berusaha untuk pulih kepada tahap 60 peratus pada suku keempat sama seperti tempoh sebelum penularan COVID-19 dalam kapasiti domestik.

Faktor muatan AirAsia Indonesia turun sebanyak 36 peratusan mata kepada 49 peratus pada suku ketiga 2020 manakala AirAsia Filipina beroperasi pada tahap hanya lima peratus sahaja daripada kapasiti tahun lalu pada suku yang dikaji.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan