Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Agensi hartanah HSR didenda gagal beri nasihat risiko pelaburan di Bangkok

Agensi hartanah HSR International Realtors didenda S$12,500 kerana gagal memberi nasihat sewajarnya kepada para pelabur mengenai risiko membeli hartanah di Bangkok.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Sep 2018 02:06PM Dikemas Kini : 11 Sep 2018 09:45PM

SINGAPURA: Agensi hartanah HSR International Realtors didenda S$12,500 kerana gagal memberi nasihat sewajarnya kepada para pelabur mengenai risiko membeli hartanah di Bangkok.

Atas kesalahan melanggar Garis Panduan Majlis Agensi-agensi Hartanah (CEA), HSR juga dilarang melakukan sebarang urus niaga atau memasarkan hartanah luar negara selama enam bulan, mulai 10 September, menurut CEA dalam satu kenyataan media pada Selasa (11 Sep).

Pada 2014, dua pelabur masing-masing membeli sebuah unit di projek Manhattan Park Peninsular di Bangkok menerusi HSR. Setiap pelabur membayar yuran tempahan sebanyak S$3,000 dan 30 peratus harga pembelian kepada pihak pemaju projek, Euro-Thai Property.

Salah seorang pelabur membayar S$32,000 manakala seorang lagi membayar sebanyak S$20,327.

Sebelum Perjanjian Jual Beli dikuatkuasakan beberapa hari kemudian, ejen-ejen hartanah HSR sepatutnya memberikan kedua-dua pelabur satu nasihat bertulis yang menyatakan bahawa mereka harus menjalankan tanggungjawab masing-masing. Ia menekankan risiko yang terlibat dalam membeli hartanah asing, dan urus niaga mereka tertakluk kepada undang-undang asing dan sebarang perubahan dasar dan peraturan di Thailand.

Bagaimanapun, ejen-ejen hartanah HSR gagal melakukannya. Mereka juga gagal menerangkan kepada pelabur pertama bahawa Perjanjian Jual Beli tidak mengandungi mekanisme huraian pertikaian atau pentadbiran untuk menyelesaikan sebarang pertikaian, seperti yang dikehendaki di bawah garis panduan CEA.

Kedua-dua pelabur itu mengalami kerugian apabila mereka kemudian diberitahu bahawa pemaju projek hartanah itu sudah menghentikan projek pembangunan hartanah berkenaan.

BERWASPADA APABILA BELI HARTANAH ASING: CEA

Dalam kenyataan medianya, CEA menasihatkan para pelabur supaya berwaspada terhadap risiko yang terlibat dalam urus niaga hartanah asing kerana ia boleh menjadi urusan rumit yang membawa risiko tambahan berbanding urus niaga hartanah tempatan.

Para pembeli juga tidak harus bergantung kepada nasihat ejen hartanah semata-mata, menurut CEA, sambil menambah bahawa ia sudah menerbitkan satu panduan mengenai pembelian hartanah di luar negara.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan