Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

9 syarikat di Singapura akan gandakan cuti paterniti kepada 4 minggu

Sembilan syarikat di sini, termasuk firma farmaseutikal AstraZeneca dan peruncit pakaian H&M, akan menggandakan cuti paterniti berbayar pekerja mereka tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
9 syarikat di Singapura akan gandakan cuti paterniti kepada 4 minggu

Gambar hiasan seorang bayi dan bapa. (Gambar: Laura Garcia/Pexels)

Diterbitkan : 09 Dec 2021 08:36AM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 08:44AM

SINGAPURA: Sembilan syarikat di sini, termasuk firma farmaseutikal AstraZeneca dan peruncit pakaian H&M, akan menggandakan cuti paterniti berbayar pekerja mereka tahun depan.

Kaum bapa yang bekerja di syarikat-syarikat tersebut akan dapat meluangkan lebih banyak masa dengan bayi baru lahir dan pasangan mereka selepas mereka mendapat cuti paterniti berbayar selama empat minggu — digandakan daripada dua minggu sekarang.

Syarikat-syarikat lain adalah: Firma automasi ABB, pengilang Atlas Copco, syarikat jubin lantai Bolon x The Andrews Group, firma perkakas elektrik Electrolux, firma pengurusan rantaian bekalan Mentor Media, jenama kecantikan dan kesihatan Oriflame dan syarikat pengilangan SKF.

Sembilan perniagaan itu akan mengikuti inisiatif sama yang telah ditawarkan peruncit perabot Ikea untuk pekerjanya di sini sejak 2017.

Kesembilan-sembilan firma itu adalah Anggota Dewan Perniagaan Sweden Singapura, yang mengumumkan langkah itu pada Khamis (9 Dis) sebagai sebahagian daripada "ikrar #DoubleUp" untuk menggandakan faedah cuti paterniti berbayar di Singapura.

Buat masa ini, kaum bapa yang bekerja berhak menerima cuti paterniti dua minggu yang dibiayai Pemerintah. Sembilan syarikat yang membuat ikrar itu akan membiayai gaji bapa untuk cuti tambahan dua minggu itu.

Golongan ibu yang bekerja di sini layak mendapat cuti bersalin 16 minggu cuti bersalin yang ditanggung pemerintah jika mereka memenuhi syarat seperti telah bekerja sekurang-kurangnya tiga bulan dan melahirkan bayi warga Singapura.

Gerakan ikrar #DoubleUp akur bahawa wanita tidak sepatutnya ketinggalan di tempat kerja kerana mengambil cuti bersalin, namun perlu ada pengiktirafan bahawa bapa juga mempunyai peranan penting semasa bulan-bulan awal kehidupan anak mereka.

"Cuti ibu bapa untuk kedua-dua ibu dan bapa adalah salah satu tunjang untuk membina masyarakat yang lebih saksama," tulis ikrar itu.

Cik Oldouz Mirzaie, ketua pegawai eksekutif dan pengurus serantau H&M South Asia, berharap langkah yang diambil oleh sembilan syarikat itu akan "menggalak lebih banyak perniagaan untuk mengambil serius kesaksamaan jantina".

Encik Vinod Narayanan, presiden negara bagi AstraZeneca Singapore, berkata perubahan ini akan membantu para bapa memainkan peranan yang lebih aktif pada bulan-bulan awal kehidupan anak mereka.

Meskipun sembilan firma itu akan melaksanakan faedah baru ini mulai tahun depan, sebahagian daripada mereka sudahpun memberikan cuti kepada kakitangan yang bayi mereka dilahirkan pada hujung tahun ini. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan