Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

9,000 peluang ditawarkan dalam sektor khidmat profesional sejak April, 80% bagi PMET: MOM

Lebih 1,500 syarikat dalam sektor perkhidmatan profesional telah menawarkan sekitar 9,000 peluang sejak April tahun ini, dengan 80 peratus daripadanya adalah untuk jawatan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (1 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
9,000 peluang ditawarkan dalam sektor khidmat profesional sejak April, 80% bagi PMET: MOM

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 01 Oct 2020 02:36PM Dikemas Kini : 01 Oct 2020 02:41PM

SINGAPURA: Lebih 1,500 syarikat dalam sektor perkhidmatan profesional telah menawarkan sekitar 9,000 peluang sejak April tahun ini, dengan 80 peratus daripadanya adalah untuk jawatan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (1 Okt).

Lebih daripada 1,400 pemohon kerja telah ditempatkan untuk memanfaatkan peluang-peluang ini yang termasuk pekerjaan, latihan/penempatan kerja yang dihoskan oleh syarikat dan kursus latihan, menurut MOM dalam laporan situasi pekerjaannya.

Dua daripada setiap tiga peluang - sekitar 5,870 - yang ditawarkan adalah pekerjaan, yang akan disokong di bawah Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) jika syarat kelayakan dipenuhi.

(Sumber: MOM)

MOM menyatakan sekitar sembilan daripada setiap 10 orang yang diambil bekerja oleh firma di sektor itu bekerja di bawah tujuh subsektor. Sektor-sektor itu termasuk perundingan, pengiklanan dan pemasaran, perakaunan, dan lain-lain. Pada Jun tahun ini, sektor itu menggajikan hampir 256,000 pekerja.

Laporan itu juga mengambil perhatian bagaimana pandemik COVID-19 menjejas firma perkhidmatan profesional dengan "tidak sama rata".

Ini dilihat daripada bagaimana tahap-tahap kegiatan untuk subsektor seni bina dan kejuruteraan berkurangan akibat kerja-kerja binaan yang dihentikan semasa pemutus jangkitan, katanya.

Firma-firma dalam binaan dan penyenggaraan proses telah mengurangkan operasi kepada sekitar 60 hingga 70 peratus dan sedang "beransur-ansur pulih", tambah MOM.

Selain itu, 70 peratus firma undang-undang melaporkan pengurangan kerja.

(Sumber: MOM)

PELUANG BARU

Bagaimanapun, MOM menyatakan bahawa subsektor perakaunan kurang terjejas kerana khidmat audit, perakaunan dan percukaian masih diperlukan untuk memenuhi syarat berkanun.

Tambahan lagi, laporan tersebut menarik perhatian bagaimana firma-firma perunding besar menyaksikan permintaan yang semakin meningkat untuk kepakaran teknologi dan keselamatan siber, walaupun kerja konvensional telah merosot.

"Pelanggan juga telah beralih ke firma perunding cara HR untuk nasihat menubuhkan sistem kerja dari jarak jauh yang berkesan dan juga untuk menguruskan penyusunan semula syarikat," tambah MOM.

Sedang subsektor itu beralih ke bidang-bidang pertumbuhan baru, mereka yang mencari kerja perlu bersedia untuk mengasah kemahiran mereka dalam teknologi baru muncul seperti teknologi awan, keselamatan siber dan kecerdasan buatan."

Jawatan yang tidak memerlukan kepakaran khusus seperti pengurusan dan perunding cara perniagaan biasanya memerlukan pengalaman kerja kurang dari lima tahun, dan menawarkan gaji antara S$3,500 dengan S$8,500, menurut laporan itu. Calon yang mempunyai kemahiran khusus mungkin memperolehi gaji lebih tinggi.

Permintaan untuk jawatan pengiklanan dan pemasaran seperti ahli strategi kandungan juga kekal "tinggi" sedang syarikat-syarikat cuba menonjolkan diri di tengah-tengah jumlah pesaing yang meningkat dalam bidang digital, menurut laporan itu.

Perkhidmatan reka bentuk juga "mendapat perhatian" sedang syarikat perniagaan cuba meningkatkan kehadiran online dan interaksi pelanggan secara digital, tambah MOM.

Laporan situasi pekerjaan pada Khamis adalah yang ketujuh dari satu siri kemas kini mingguan mengenai pekerja tempatan oleh MOM.

Ini dilakukan sejak pertengahan Ogos, yang meliputi pelbagai industri seperti syarikat pemula tempatan, sains bioperubatan dan pelancongan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyediakan "pemahaman menyeluruh" tentang peluang pekerjaan dan latihan kepada mereka yang mencari pekerjaan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan